suria

Kuota Bukan Lambang Penghinaan - Khairul Azwan

KUALA LUMPUR: Kuota yang diperuntukan kepada orang Melayu dan Bumiputera bukannya lambang penghinaan, kata Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun.

Malahan, katanya, orang Melayu dan Bumiputera mampu bersaing secara sihat dengan bangsa lain tanpa perlu bergantung kepada kuota berkenaan.

Bagaimanapun, menurut Khairul Azwan, kenyataan ketua pergerakan sayap itu, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan itu berkaitan kuota dalam wacana mengenai aspirasi Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50), baru-baru ini telah disalah tafsir.

"Pergerakan Pemuda Umno tidak pernah berganjak daripada apa yang ada pada kita hari ini khususnya untuk orang Melayu dan Bumiputera. Ia akan dipertahankan.

"Apa yang disebut Khairy telah disalah tafsir. Yang Khairy sebut pada 2050 (walaupun) tanpa ada kuota, orang Melayu dan Bumiputera pada waktu itu juga mampu bersaing secara sihat dengan bangsa lain, bahkan boleh lebih maju dan berdiri lebih tinggi daripada bangsa lain pada 2050, itu aspirasi yang dinyatakan Khairy," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di Menara Dato Onn di sini, Rabu.

Sehubungan itu, Khairul Azwan yang lebih dikenali sebagai Azwan Bro meminta semua pihak supaya tidak menterjemahkan kenyataan Khairy mengenai kuota tersebut secara literal.

"Bukanlah kuota pada 2050 akan menjadi penghinaan kepada orang Melayu. Tidak, bukan itu yang dimaksudkan," katanya.

Khairy dalam wacana bersama anak muda India Malaysia mengenai TN50 dilapor berkata, kaum Melayu perlu bergerak ke hadapan tanpa memerlukan sistem kuota.

“Kita perlu melihat (sistem) kuota ini suatu penghinaan, di mana kita perlu kuota untuk bergerak ke depan.

“Saya mahu supaya satu hari nanti, masyarakat Melayu boleh kata kita masuk universiti bukan pasal kuota,” kata Khairy.

Khairul Azwan, Pemuda Umno, TN50

Artikel Lain