suria

Kerajaan Johor Ucap Takziah Atas Kematian Pelajar Tahfiz

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut mengucapkan takziah di laman rasmi facebook baginda pada Rabu.

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengucapkan takziah terhadap anggota keluarga pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, yang meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor turut memberikan sumbangan kepada keluarga pelajar itu bagi membantu menghadapi detik sukar.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh negeri Johor turut berdukacita atas pemergian 'imam cilik' ini.”

"Hasrat dan impiannya menjadikan Al-Quran sebagai budaya hidup seharian amatlah terpuji dan sama-samalah kita berdoa semoga Allah menempatkannya dalam kalangan insan yang bertaqwa dan beriman," katanya menerusi kenyataan.

Mohd Thaqif Amin, 11, yang kedua belah kakinya dipotong hingga paras peha akibat jangkitan kuman, Jumaat lepas, meninggal dunia pada 2.05 petang tadi.

Terdahulu, Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke HSI, Rabu lepas, (19 April) menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul pembantu warden madrasah itu.

Selepas kaki, tangan kanan pelajar itu pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadualkan perlu dipotong hingga bawah siku, pagi tadi, demi menyelamatkan nyawanya.

Pada Selasa, Ayub berkata laporan ujian darah dan kesihatan bagi mengetahui punca sehingga menyebabkan kedua-dua kaki pelajar itu terpaksa dipotong, akan diperolehi sekurang-kurangnya seminggu atau dua minggu lagi.

Pembantu warden berumur 29 tahun itu disambung reman tiga hari mulai Khamis sehingga Sabtu ini.-Bernama

Artikel Lain