suria

Kes Tembak Di Bachok, Polis Kesan Tiga Individu

Din Ahmad (tengah) bersama pegawai menunjukkan fotofit tiga individu yang dikehendaki berkaitan kes tembak di Bachok pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Khamis. Foto: Bernama

KOTA BHARU: Polis Kelantan meminta orang ramai membantu mengesan tiga lelaki berumur antara 30 dan 34 tahun yang disyaki terbabit dalam kes melepaskan tembakan di Kampung Permatang Pasir, Gunong, Bachok,  22 April lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan  SAC Din Ahmad berkata tiga suspek tersebut yang juga bekas banduan dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Setakat ini polis hanya dapat mengambil sedikit keterangan sahaja daripada mangsa yang cedera terkena tembakan kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, Khamis.

Din berkata polis percaya motif kejadian adalah berkaitan urusan dadah.

Dalam kejadian pukul 3.37 petang 22 April lepas, seorang lelaki berusia 25 tahun parah apabila terkena tembakan di rusuk kanan yang dilepaskan penyerang yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios. 

Mangsa kini masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Sementara itu, Din berkata polis berjaya menahan sembilan individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM83,500 serta wang tunai RM10,329 dalam operasi Jihad Memerangi Dadah di Machang, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Pasir Puteh selama dua hari bermula Selasa lepas.

Beliau berkata polis Kelantan akan terus menjalankan operasi tersebut bagi membanteras  penyalahgunaan dadah di negeri ini.“Polis juga ingin merakamkan terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa menyalurkan maklumat sehingga banyak serbuan yang dilakukan berjaya," katanya.-Bernama

Kes Tembak Bachok

Artikel Lain