KUALA LUMPUR: Setelah Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam Laporan Kegembiraan Dunia tahun ini, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat terus menjaga emosi di sebalik keperluan meningkatkan produktiviti dengan bekerja keras "Tiada gunanya berpendapatan tinggi tetapi tidak gembira. Memang penting untuk meningkatkan produktiviti dengan bekerja keras tetapi jangan sampai mengakibatkan tekanan emosi yang melampau. "Tenangkan fikiran dengan beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga agar kita dapat mengimbangi antara keceriaan dan kemajuan diri sendiri," kata perdana menteri mengenai Laporan Kegembiraan Dunia 2017 yang dimuat naik di laman sesawangnya, www.najibrazak.com. Beliau berkata kedudukan Malaysia yang mendahului negara-negara seperti Jepun, Rusia, Itali, Korea Selatan dan China dalam Laporan Kegembiraan Dunia 2017 menunjukkan tahap kegembiraan tidak selalunya seiring dengan kemajuan. Menurut Laporan Kegembiraan Dunia 2017 Gallup World Poll yang disiarkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini, Malaysia naik lima anak tangga daripada kedudukan ke-47 tahun lepas. Najib menyifatkan pencapaian Malaysia itu sebagai sangat menarik.Kajian itu melibatkan 155 negara di dunia yang berdasarkan beberapa faktor termasuk kekuatan ekonomi, impak sosial, jangka hayat, kebebasan membuat pilihan, kemurahan hati dan tanggapan tentang rasuah. Perdana Menteri berkata kegembiraan adalah perkara subjektif dan berbeza mengikut individu, tetapi akan menyuntik semangat untuk meneruskan kehidupan dengan jaya. Menurut laporan itu, Norway merupakan negara paling gembira di dunia diikuti Denmark, Iceland dan Switzerland. - BERNAMA