SHAH ALAM: PKR masih menunggu keputusan muktamad PAS untuk tahaluf siyasi dengan parti itu sebelum memutuskan sebarang tindakan. Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya sedia maklum Dewan Ulama telah bersepakat membuat keputusan itu, namun ia masih belum diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS. "Kita lihat dahulu apa keputusan Majlis Syura," katanya. "Adakah keputusan ini akan memberi kesan terhadap PKR, PAS di Selangor. "Dari segi kerja, tiada masalah. Cuma dari segi polisi perlu tunggu keputusan muktamar," katanya. Pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Ke-56 di dewan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di Alor Setar semalam, Muktamar Dewan Ulama PAS bersetuju untuk mengusulkan agar tahaluf siyasi antara PAS dan PKR diputuskan. Usul itu kemudian mendapat persetujuan sebulat suara perwakilan namun ia tertakluk pada keputusan Majlis Syura Ulama menurut peruntukan Perlembagaan PAS.- Sinar Harian