suria

E-Kad: 80 Peratus Majikan, Pekerja Asing Degil

KUALA LUMPUR: Sebanyak 80 peratus majikan dan pekerja asing masih berdegil dan tidak memohon kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) bagi membolehkan penggajian semula pendatang asing tanpa izin (Pati) secara sah dilaksanakan.

Jumlah itu masih jauh daripada sasaran Jabatan Imigresen iaitu antara 400,000 dan 600,000 Pati yang akan  didaftarkan menjelang tarikh akhir program pada 30 Jun ini.

Perkara itu dilontarkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali yang berkata setakat ini pihaknya telah meluluskan 68,580 atau 20 peratus permohonan sejak ia dilancarkan pada 15 Februari lalu.

"Sejumlah 73,881 Pati membabitkan 11,103 majikan sudah memohon untuk mendapatkan E-Kad setakat 24 April lalu, dan daripada jumlah itu, kad yang dikeluarkan adalah 68,580.

"Perkara ini amat mengecewakan kerana tempoh yang diberikan hampir tamat. Majikan harus mengambil peluang ini untuk mendaftar pekerja mereka sebelum tindakan tegas diambil," katanya sambil menegaskan yang pihaknya tidak akan melanjutkan tempoh pemohonan kad tersebut.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Ops Bersepadu yang dijalankan di sebuah pusat membeli belah terkemuka di Jalan Bukit Bintang di sini, Jumaat malam.

Operasi yang bermula jam 7 malam itu turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mustafar berkata, pihaknya menahan seramai 211 Pati atas pelbagai kesalahan termasuk menyalahgunakan pas pelajar.

"Hasil pemeriksaan, kita dapati ada antara mereka (Pati) yang masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar tetapi menyalahgunakannya untuk bekerja sepenuh masa di restoran. Kita akan siasat perkara ini dengan pihak kolej," katanya. - Bernama

E-Kad, Imigresen, Mustafar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain