SHAH ALAM: Sebelas pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki memiliki kad pengenalan palsu antara 65 yang ditahan Jabatan Imigresen Selangor dalam Op Ikrar di Klang pada Jumaat. Pengarahnya, Omran Omar berkata operasi yang dijalankan di sebuah kilang memproses dan membungkus kopi pracampuran itu turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Dalam operasi dua jam bermula 6.45 petang itu, 150 pekerja asing diperiksa dan 65 daripadanya ditahan atas beberapa kesalahan antaranya tinggal lebih masa, tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan salah guna pas. "Ketika pemeriksaan, JPN mengenal pasti 11 kad pengenalan palsu milik pekerja kilang berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu. Mereka yang ditahan ialah 45 warga Indonesia, 13 (Nepal), enam (India) dan seorang warga Vietnam serta berumur antara 18 dan 50 tahun. Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1), Seksyen 15(1) dan Peraturan 39(b) Akta Imigresen serta Akta Pendaftaran Negara 1959.