suria

Pengantin Berseri Diapit Dua, Tiga & Empat Isteri

GISB Holdings meraikan 58 pasangan pengantin yang majoritinya berpoligami pada Karnival Perkahwinan Perdana 2017 di Bandar Country Homes, Rawang, Ahad.

RAWANG: Setiap pasangan mengatur langkah sopan dengan wajah berseri-seri ketika diraikan sempena bermulanya pelayaran bahtera perkahwinan, cuma bezanya majoriti pengantin lelaki tidak diapit seorang wanita, sebaliknya diiringi dua, tiga atau empat isteri.

Tambah menyerikan majlis, setiap pasangan akan mengenakan busana dengan tema warna sedondon dan diarak dengan penuh meriah di Pusat Perniagaan Ikhwan, Bandar Country Homes, di sini.

Malahan, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila isteri pertama akan meminang bakal madunya untuk bersama hidup dalam alam rumah tangga.

Begitulah amalan sejak sekian lamanya, bermula dari era Al-Arqam, seterusnya Rufaqa dan kini GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) terus menyuburkan budaya poligami.

Kali ini, syarikat yang berkembang di seluruh dunia ini dengan hampir 4,000 keahlian ini meraikan 58 pasangan pada Karnival Perkahwinan Perdana (KPP) 2017 bermula 29 April hingga 1 Mei ini.

Kebanyakan pasangan pengantin monogami dan poligami yang dirai itu berusia antara 18 tahun hingga 50-an yang majoritinya di kalangan kakitangan syarikat itu.

Majlis bermula dengan bacaan doa, diikuti oleh Nasyid Pembukaan serta ucapan perasmian dan pembukaan oleh wakil Pengerusi Eksekutif GISBH , Mohd Shukri Mohd Noor yang juga merangkap Pengarah KPP2017.

Menurut Mohd Shukri, kali ini karnival itu diserikan dengan seramai 10 pasangan melibatkan poligami dua isteri, manakala masing-masing satu pasangan dengan tiga dan empat isteri.

Majlis gilang gemilang ini terbuka kepada seluruh staf GISBH dan orang ramai disemua peringkat menyaksikan pelbgai acara menarik sepanjang tempoh penganjuran karnival itu.


Terdahulu, bakal pengantin dinikahkan jurunikah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Cahaya Iman.

Sepanjang karnival itu, Pusat Perniagaan Ikhwan dipenuh dengan pelbgai gerai jualan dan pameran, selain pertandingan dan sukaneka antaranya pertandingan bayi sihat, busana muslim, mewarna,  teater muzikal Islam,  memanah dan  memasak keluarga poligami, anyam ketupat, gubahan bunga dan jahitan.

Artikel Lain