suria

Pengayuh Solo Teruja Tiba Di KB

KOTA BHARU: Pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rashid yang kini dalam misi kayuhan solo menjelajah Semenanjung Malaysia, berasa teruja apabila bertemu dengan rombongan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra yang hadir menunaikan solat Maghrib di Masjid Muhammadi di sini pada Ahad malam.

Khairil Aslan, 42, yang tiba di perkarangan masjid tersebut pada pukul 7.20 malam jelas terpinga-pinga kerana tidak menyangka bakal bersolat bersama rombongan Diraja di masjid yang bakal menjadi tempat "menginapannya".

"Saya bersyukur berjaya menjejak kaki di pusat bandar Kota Bharu dalam tempoh lebih enam jam dari Jeli. Saya bertolak agak lewat pada pukul 12.40 tengah hari kerana terpaksa servis basikal terlebih dahulu dan tiba lewat kerana terpaksa berhenti rehat sebanyak tiga kali untuk sekadar membasahkan tekak," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Khairil Aslan sedang melakukan kayuhan solo menjelajah Semenanjung Malaysia memasuki hari ke-15 hari ini bermula dari Masjid Sultan Muhammad 1, Jeli.

Katanya dalam perjalanan tadi, beliau juga terserempak dengan satu kemalangan jalan raya yang terjadi di hadapan matanya akibat sikap pemandu kenderaan yang kurang peka ketika membuat pusingan U di Salor, Pasir Mas.

"Malam ini saya akan berjumpa dan berbual bersama rakan-rakan dari Kota Bharu iaitu yang bersama-sama dalam hobi mendaki gunung," katanya.

Esok, beliau akan meneruskan kayuhan ke Kuala Terengganu melalui jalan pantai kerana ingin melihat suasana pantai di sepanjang perjalanan tersebut.

"Mungkin saya akan bermalam di Permaisuri (Terengganu) kerana jarak ke Kuala Terengganu agak jauh," katanya.

Khairil Aslan memilih masjid sebagai tempat persinggahan sepanjang ekspedisi yang bermula 16 April lepas sebagai usaha untuk mendekati masyarakat setempat khususnya golongan belia di samping berkongsi pengalaman sebagai pendaki dan pengayuh basikal secara solo.

Ekspedisi selama 30 hari sejauh 2,700 km itu bermula pada 16 April lepas di Masjid Bandar Seri Putera, Bangi dan akan berakhir di masjid sama pada 12 Mei ini.

Kayuhan bertemakan "Dari Masjid Ku Menjelajah 2017" adalah sebagai latihan untuk Ekspedisi Solo Semenanjung Malaysia Berbasikal dan Mendaki selama 67 hari bermula Jun ini.

Khairil Aslan yang berasal dari Batu Kurau, Perak pernah menawan tiga puncak Himalaya iaitu Puncak Mera, Lobuche dan Island dalam tempoh 32 hari bermula 26 Nov 2015.

Beliau juga mencipta rekod sebagai antara pendaki solo Asia yang melakukan ekspedisi ke tiga-tiga puncak berkenaan pada musim sejuk.

Khairil Aslan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain