suria

Polis Buka Dua Kertas Siasatan Berhubung Kes Dera Amah

Abdul Jalil Hassan

MELAKA: Polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes dera tiga pembantu rumah warga Indonesia pada Sabtu lepas dan penahanan dua suspek warga tempatan.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Beliau berkata suspek wanita berusia 50-an dan anak lelakinya berusia 20-an yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan telah direman selama tujuh hari bermula semalam.

"Ketiga-tiga pembantu rumah berkenaan kini berada di bawah perlindungan sementara atas perintah mahkamah dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita di Kempas, Johor selama 21 hari bermula semalam," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau menghadiri program lawatan ke Hospital Melaka sempena sambutan Hari Polis Ke-210 yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Melaka, Dr Zulkarnain Mohd Rawi

Media melaporkan tiga pembantu rumah tersebut mengambil tindakan nekad untuk melarikan diri dan kemudian meminta bantuan daripada orang ramai kerana dikatakan tidak tahan didera oleh majikan mereka di Bukit Katil..Ketiga-tiga pembantu rumah terbabit mendakwa mereka sering dipukul hingga mendatangkan kecederaan, malah gaji yang seharusnya diterima mereka didakwa disimpan majikan terbabit.

Sementara itu Abdul Jalil berkata polis Melaka akan melancarkan skuad rondaan berbasikal Khamis ini dalam usaha membendung kegiatan jenayah dan aktiviti tidak sihat..

"Polis akan memberi fokus terutamanya di lokasi tumpuan orang ramai dan pelancong selain memberi pemerhatian serta pemantauan termasuk pada waktu puncak seperti musim cuti persekolahan dan hujung minggu sebagai inisiatif membantu penguatkuasaan," katanya.-Bernama

Dera Amah, Polis Siasat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain