suria

Lambakan Cili Import Sukarkan Peniaga Tempatan Bersaing

PUTRAJAYA: Lambakan cili import di negara ini menyukarkan peniaga bersaing di pasaran yang rata-rata  menjual sayuran tempatan itu.

Peniaga pasar tani, Mohd Fahzan Romli berkata, walaupun cili tempatan lebih mahal berbanding cili import tetapi ia lebih segar dan berkualiti.

Bagaimanapun katanya, pengunjung pasar tani kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) boleh membeli cili tempatan yang dijual pada harga jauh lebih rendah iaitu antara lima peratus sehingga 20 peratus berbanding pasar awam.

"Walaupun kami peniaga terpaksa bersaing dengan lambakan cili import tetapi permintaan terhadap cili tempatan terutama cili merah kulai masih tinggi.

"Sehari saya boleh jual sehingga 40 kilogram cili merah kulai kerana masyarakat pelbagai kaum di negara ini semuanya suka masakan bercili," katanya.

Mohd Fahzan merupakan antara peniaga yang beroperasi di Pasar Tani, Presint 3 di sini sempena pelancaran Kempen Lebihkan Makan Cili Tempatan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Fama.

Majlis disempurnakan menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Turut hadir Pengerusi Fama, Tan Sri Badruddin Amiruldin dan ketua pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak.

Sehubungan itu, peniaga, Ahmad Samuri, 46, menyifatkan kempen yang dilancarkan itu dapat menarik lebih ramai pembeli cili tempatan.

Katanya, cili tempatan bukannya tidak laku kerana hampir setiap hari cili yang dijualnya habis.

"Cuma bila ada banyak cili import, kami tak dapat menambah bekalan cili tempatan.

"Saya percaya dengan Kempen Lebihkan Makan Cili Tempatan ini akan memaklumkan mengenai kepentingan dan kesegaran cili tempatan, sekaligus menggandakan jualan kami," katanya.

Bagi pengguna, Noriszuani Ishak, 30 pula, tidak dinafikan cili tempatan jauh lebih berkualiti berbanding cili import.

"Dengan kempen yang diperkenalkan ini sedikit-sebanyak membantu pembeli membezakan kedua-dua jenis cili ini.

"Hampir setiap hari saya dan suami akan menikmati hidangan bercili dan sudah tentunya cili tempatan yang lebih segar menjadi pilihan," katanya.

Selain itu, Ahmad Shabery berkata, ketika ini pasaran cili tempatan sebanyak 60 peratus berbanding cili import 40 peratus.

Katanya, cili tempatan adalah premium yang bernilai tinggi dan diyakini dari segi kebersihannya, penggunaan baja dan bahan kimia yang tidak keterlaluan.

"Kita juga hendak tanamkan semangat patriotisme  kepada rakyat supaya memberi keutamaan kepada cili tempatan," katanya.

Menurut Ahmad Shabery, kerajaan membantu kira-kira 2,000 pengusaha cili tempatan terutama golongan muda dari segi kemudahan tanaman.

"Pengusaha-pengusaha tempatan terpaksa bersaing dengan lambakan cili dari luar. Sukar untuk kita ambil tindakan kerana terdapat perjanjian-perjanjian tertentu.

"Tetapi apa yang perlu kita tekankan adalah melabelkan supaya rakyat mengetahui ia adalah cili yang mana dan kita mahu pembeli mengutamakan cili tempatan," katanya.

Kempen Lebihkan Makan Cili Tempatan akan diadakan di seluruh negara khususnya di semua pasar tani dan rangkaian kedai Fama, selain mendapatkan kerjasama dengan pasar raya bagi melaksanakan kempen ini.

cili, Fama

Artikel Lain