SHAH ALAM: Bayi perempuan berusia lapan bulan antara 63 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan empat batu nautika dari perairan Pelabuhan Barat, Klang dekat sini, ketika cuba menyeludup keluar dari negara ini awal pagi Selasa. Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim 4 Selangor, Komander Maritim Mohd Iszuadi Mohamad Hassan berkata kesemua mereka bersama seorang tekong dan tiga awak-awak ditahan kira-kira 5 pagi. "Ketika itu bot ronda APMM sedang melakukan rondaan bagi Ops Satria Selatan dan melihat bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan. "Pemeriksaan lanjut kami mendapati seramai 67 orang termasuk tekong dan awak-awak berada di dalam bot berkenaan di mana kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan di sini Selasa. Tambah beliau kesemua Pati yang ditahan berusia lingkungan lapan bulan sehingga 56 tahun melibatkan 15 perempuan, dua kanak-kanak perempuan dan 46 lelaki. Kesemua yang ditahan dibawa ke depoh tahanan APMM Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/ 63 dan Seksyen 26C Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, katanya. -Bernama