suria

Polis Siasat Individu Lain Terlibat Sindiket Raja Dadah Malaysia

Seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Mr T yang dipercayai anggota kanan sindiket dadah antarabangsa ditahan polis Thai di Lapangan Terbang Hatyai Rabu lepas setibanya dari Chiang Rai. Foto: Bernama

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan sekiranya terdapat individu di negara ini terbabit dalam sindiket pengedaran dadah didalangi dua raja dadah yang ditahan pihak berkuasa Thailand minggu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya telah menghantar pasukan penyiasat ke Thailand untuk melakukan risikan susulan penahanan dua lelaki dari Malaysia itu.

“Mereka (raja dadah) akan berhadapan dengan undang-undang Thailand dan biar pihak berkuasa di sana (Thailand) yang ambil tindakan.

“Susulan penahanan itu juga, kita telah hantar pegawai kita untuk dapatkan risikan berhubung penglibatan individu lain di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Shah Alam bersempena Hari Polis ke–210 yang disambut pada 25 Mac lepas, Rabu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Hospital Shah Alam Datin Paduka Dr Hasni Hanafi.

Isnin lepas, Bernama melaporkan suspek yang digelar sebagai Mr T atau Malaysian Iceman dari Johor Bahru, Johor dan Mr G dari Pulau Pinang ditahan pihak berkuasa Thailand minggu lepas dan mereka  dianggap sebagai anggota penting sindiket dadah antarabangsa yang bertanggungjawab dalam penyeludupan ratusan kilogram dadah ke Malaysia.

Mr T, 64, yang tinggal di Thailand kira-kira 20 tahun dan fasih berbahasa Thai diberkas polis Thailand di lapangan terbang Hatyai sebaik kembali dari Chiang Rai pada 19 April lepas manakala Mr G ditahan semasa bersedia menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia selepas memasuki Thailand sebelum cuti bersempena perayaan Songkran.

Sementara itu, mengulas mengenai spekulasi ketua militan Daesh Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi terbunuh dalam satu serangan di Syria, Khalid berkata status kematian Muhammad Wandy itu masih diragui.

“Kita tidak tolak kemungkinan ada sebab-sebab lain yang mendorong dakwaan kematiannya...kita juga telah menemui keluarga Muhammad Wandy berhubung kes ini. Bagaimanapun status kematiannya biar kami siasat dahulu,” katanya.

Pada 29 April lepas, isteri Muhammad Wanndy, Nor Mahmudah Ahmad, 28, memuat naik status di laman Facebook membayangkan bahawa suaminya telah terbunuh dalam serangan menggunakan dron di Ma'dan, Syria.

Muhammad Wanndy yang berumur 26 tahun dan berasal dari Durian Tunggal, Melaka itu dipercayai dalang kepada beberapa serangan di rantau ini termasuk di sebuah pusat hiburan di Puchong dekat sini, tahun lepas.-Bernama

Raja Dadah Malaysia

Artikel Lain