SERDANG: Penyebaran ideologi militan Daesh menerusi media sosial dijangka meningkatkan jumlah penahanan individu yang terlibat dalam kegiatan keganasan di negara ini. Perkara itu didedahkan Bukit Aman yang percaya faktor berkenaan juga akan menambah bilangan pengikut kumpulan militan termasuk dalam kalangan siswazah. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan rapi pihaknya, penyebaran ideologi Daesh didapati menjadi kuat menerusi penggunaan laman sosial. “Langkah awal yang diambil oleh pengganas ini adalah dengan mendekati individu yang mempunyai masalah menerusi laman sosial facebook sebelum bertukar nombor telefon untuk meracuni fikiran mereka. “Mereka turut mengajak orang awam untuk menyertai kumpulan militan menerusi anjuran ceramah dan sesi usrah sulit dengan meyakinkan bahawa jalan tersebut dapat menyelamatkan mereka dunia dan akhirat,” katanya pada Forum Ancaman Keselamatan Dalam Kalangan Masyarakat Kampus di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Rabu. Setakat April tahun ini, seramai 30 individu berjaya ditahan dan angka itu dijangka terus meningkat sekiranya aktiviti sebaran ideologi Daesh tidak disekat. Selain itu, Ayob Khan juga mendedahkan, kumpulan militan Daesh mula menyebarkan ideologi dalam kalangan pelajar di universiti awam dan swasta di negara ini. “Asas perjuangan kumpulan militan ini adalah menerapkan konsep jihad yang bertentangan dengan ajaran sebenar Islam, ajakan untuk bertempur dengan dajal di Damsyik, Syria serta menggunakan alasan hijrah demi Islam. “Setiap pengikut yang bersetuju untuk menyertai ideologi tersebut akan berbai’ah untuk setia dengan perjuangan Daesh,” katanya.