suria

M'sia, Bahrain Meterai 4 MoU, Perjanjian Khidmat Udara

Raja Bahrain Hamad Isa Al Khalifa (duduk kiri) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (duduk kanan) menyaksikan Majlis Pementeraian Perjanjian Persefahaman antara Malaysia dan Bahrain di Seri Perdana malam Selasa. Perjanjian dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana diwakili oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (berdiri kanan) bagi pihak Kerajaan Malaysia manakala Bahrain, diwakili Menteri Industri, Perdagangan dan Pelancongan Zayed R. Alzayani (berdiri kiri). Foto Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia dan Bahrain pada Selasa menandatangani perjanjian mengenai perkhidmatan udara dan empat Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, perusahaan kecil dan sederhana (SME), minyak dan gas serta perdagangan di pusat pentadbiran Persekutuan di sini. 

Majlis menandatangani perjanjian mengenai perkhidmatan udara dan MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa di Seri Perdana di sini, Selasa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menandatangani perjanjian itu bagi pihak Kerajaan Malaysia manakala Bahrain diwakili oleh Menteri Luar, Shaikh Khalid Ahmed Mohamed Al Khalifa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Leftenan Jeneral Diyab Saqer Alnoaimi daripada Angkatan Pertahanan Bahrain menandatangani MoU kerjasama dan pertukaran berkenaan pertahanan.

MoU berkenaan perusahaan kecil dan sederhana (SME) ditandatangani  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Industri, Perdagangan dan Pelancongan Bahrain, Zayed R. Alzayani. 

MoU lain yang ditandatangani pada Selasa ialah berkaitan kerjasama dalam sektor huluan dan gas asli cecair  (LNG) antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan National Oil and Gas Authority (NOGA Holdings) dari Bahrain. 

MoU berkenaan ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Menteri Minyak Bahrain, Shaikh Mohamed Khalifa Ahmed Al Khalifa.

Mou antara Dewan Perniagaan dan Perindustrani Bahrain (BCCI) dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM)  ditandatangani Presiden NCCIM, Datuk Ter Leong Yap dan Pengerusi BCCI, Khalid Abdulrahman Khalil Almoayed. 

Perdana Menteri menjadi hos kepada majlis makan malam sempena lawatan negara Raja Hamad ke Malaysia selepas majlis menandatangani perjanjian dan MoU itu.

Raja Hamad Isa Al Khalifa tiba di sini pada Ahad untuk lawatan empat hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.  - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain