PETALING JAYA: Kejadian aneh dilaporkan berlaku di China baru-baru ini apabila lambakan ikan memenuhi lebuhraya di negara itu. Gambar ikan meliputi lebuhraya yang basah seolah-olah dibadai ribut ikan dengan orang ramai berpusu-pusu mengambil peluang untuk mengutip hasil laut itu juga tersebar meluas di media sosial. Masalah utamanya ialah - ia adalah berita palsu. Sebenarnya ia hanya hari biasa dengan cuaca hujan dan kebetulan ada lori yang membawa ikan terbabas. Orang ramai dengan kamera telah bertindak sebagai wartawan dengan meletakkan dua situasi itu pada jalan cerita baharu yang kononnya lebih menarik. Demikianlah yang berlaku hingga menyebabkan Internet dipenuhi berita palsu. Terkini adalah berita mengenai kematian walaupun sebenarnya ia tidak berlaku dan ia menimpa Putera Philip baru-baru ini. Mesyuarat tergempar diadakan di Istana Buckingham, sebuah portal di Eropah telah menumumkan kematiannya dan sebuah tabloid terkemuka di Britain telah menyiarkan berita sama. Ia mengambil masa untuk menarik balik berita palsu. The Duke of Edinburgh bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 96 pada Jun ini dan beliau dalam keadaan sihat. Sebenarnya, mesyuarat yang diadakan itu bagi mengumumkan persaraan beliau daripada tugas-tugas rasmi akhir tahun ini. Selain Putera Philip, penyanyi era 80-an, Rick Astley dan pelakon lagak ngeri, Jackie Chan juga berdepan situasi sama. Jadi, setiap kali menerima berita kematian atau sebarang berita panas, sama ada menerusi Internet atau sekadar cakap-cakap dalam kalangan rakan sekeliling, pastikan ia disahkan sebelum disebar luaskan. Hal ini kerana, besar kemungkinan ia adalah berita palsu. Hentikan penyebaran sebarang berita yang boleh menimbulkan kebimbangan ramai. Lebih buruk lagi jika berita palsu ini mengakibatkan kerugian atau sesuatu yang tidak sepatutnya kepada pihak yang menerima berita itu. Perkara pertama yang wajar dilakukan adalah memastikan portal atau akhbar itu mendapat berita itu daripada sumber sahih sebelum anda sendiri memuatnaik tweet atau status di Facebook. Bagaimanapun, selain berita palsu, bentuk perkongsian sedemikian juga berlaku daripada sudut pengiklanan. Pengasas Alibaba, Jack Ma, jutawan Tan Sru Ananda Krishnan, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandez dan penyanyi popular negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin juga adalah selebriti dan personaliti yang pernah menjadi mangsa iklan palsu semata-mata untuk menarik lebih ramai pengguna ke laman web tertentu. Misalnya, penggunaan gambar Ananda pada iklan dengan keterangan "Risiko ditanggung jutawan, apakah rahsia Ananda: Pelaksanaan sistem memberii peluang kepada rakyat Malaysia mendapat kekayaan", dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOIPG, Tan Sri Lee Shin Cheng, serta imej Fernandes pula digunakan dengan kapsyen “Lee Shin Cheng/Tony Fernandes dedahkan helah bekerja dari rumah yang lebih mudah, berhenti kerja dalam masa 30 hari". Siti Nurhaliza pernah terpalit kontroversi apabila gambar dia bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa diambil tanpa kebenaran dan dimuatnaik untuk promosi iklan ubat perangsang seks menerusi instagram. Siti Nurhaliza, 38 terkejut melihat iklan yang tersebar di media sosial itu dan bercadang menyaman pihak berkenaan. Iklan itu mendakwa dapat menangani masalah kesuburan. Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen Iklan Bertauliah Malaysia (4As), Datuk Johnny Mun berkata, ribuan iklan palsu, atau berita di laman web media sosial semata-mata untuk menarik perhatian pengguna. "Semua orang adalah penerbit dan tanpa pemeriksaan teliti ia dimuatnaik hingga tersebarnya berita dan iklan palsu. Seharusnya pihak penguatkuasa memainkan peranan dalam hal ini," katanya ketika dihubungi, Jumaat. Katanya, produk dan jenama juga tidak terkecuali dalam penyebaran berita palsu hingga ia menyebabkan kerugian wang dan masa.