PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan umat Islam khususnya di negeri itu tidak menghalang jalan dekat masjid semasa waktu solat. Dr Mohd Asri dalam satu kenyataan di Facebooknya menyeru umat Islam di Perlis khususnya ketika waktu solat agar memberikan hak jalan. "Caranya ialah dengan kita meletakkan kenderaan secara tersusun bagi membolehkan pengguna jalanraya lain turut menggunakan dengan selesa. "Terhalang di jalan raya kadang-kala amat menyakitkan," katanya. "Jalan raya bukan sahaja digunakan kita, mereka yang lain juga ada hak menggunakannya dengan cara yang mematuhi peraturan," kata Dr Mohd Asri. Beliau berkata, mereka yang lain mungkin ada urusan kecemasan atau mahu ke tempat yang perlu sampai pada masanya seperti lapangan terbang. "Semoga masjid-masjid kita di Perlis ini khususnya sentiasa teratur dan tidak mengganggu pengguna jalan yang lain," katanya. Beliau berkata, kenyataan tersebut adalah secara umum dan tidak merujuk kepada insiden perbalahan yang berlaku di luar surau di Austin Perdana, Johor pada Jumaat. Bagaimanapun katanya, sebarang tindakan mengganggu orang yang bersolat hendaklah dibantah.