suria

"Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle" - SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bekerjasama dengan Kumpulan Media Star melancarkan kempen 3J.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan dua kempen anti rasuah secara serentak pada Isnin.

Kempen tersebut adalah Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) dan Kempen 3J yang bermaksud 'Jangan Hulur, Jangan Kawtim (kompromi) dan Jangan Settle (selesai)'.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, Gerah adalah gerakan revolusi sosial untuk mengubah pemikiran, sikap dan persepsi masyarakat terhadap salah laku rasuah dan pelakunya sekaligus membenci perbuatan terkutuk tersebut.

Manakala, Kempen 3J pula dilancarkan bagi menyampaikan mesej yang kuat kepada masyarakat untuk membanteras rasuah secara bersama.

"Kita gunakan perkataan yang mudah supaya pesanan yang hendak disampaikan lebih mudah difahami oleh masyarakat.

"Saya tidak akan benarkan (rasuah), SPRM tidak akan benarkan dan kami harap anda juga tidak akan membenarkan ia berlaku," tegasnya ketika ditemui pemberita sempena pelancaran Kempen 3J di Menara Star pada Isnin.

Sementara itu, Dzulkifli memberitahu, SPRM akan bertindak lebih agresif untuk membuat tangkapan ke atas mana-mana individu yang terlibat dengan rasuah.

"Setiap minggu akan ada pertuduhan, siasatan dan tangkapan dibuat bagi memastikan rasuah dapat dibanteras dengan berkesan.

"Komitmen ini menunjukkan bahawa kita betul-betul serius untuk ambil tindakan memerangi pesalah rasuah," katanya.

Dalam pada itu, SPRM turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Media Star kerana menjadi penganjur bersama bagi menjayakan kempen tersebut.

Pada majlis itu, Dzulkifli, pegawai-pegawai kanan SPRM, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dan kakitangan Kumpulan Media Star turut mengadakan acara 'flag-off' sebagai gimik pelancaran Kempen 3J.
SPRM, rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain