KANGAR: Polis menahan seorang lelaki kerana melakukan ugutan jenayah terhadap Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) menerusi laman sosial Facebook pada Ahad. Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew berkata, susulan laporan dibuat pengadu, polis menahan suspek berumur 40-an itu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut. "Polis menerima laporan daripada pengadu yang juga mangsa itu sendiri (Asri) pada 11.20 pagi Sabtu lepas di Balai Polis Kangar yang telah mendakwa menerima ugutan di Facebook. "Suspek yang berasal dari Kedah itu masih direman selama tiga hari sejak Ahad hingga Selasa," katanya ketika dihubungi Isnin. Difahamkan ugutan yang dibuat oleh suspek itu ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan Mufti Perlis yang menyatakan sokongan terhadap pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik. Zakir Naik turut pernah memberi khutbah Jumaat di Masjid Negeri Arau pada Februari tahun ini yang juga mendapat bantahan daripada segelintir pihak. - BERNAMA