ALOR SETAR: Tiga lelaki termasuk dua pegawai kanan Imigresen Padang Besar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bagi kesalahan rasuah membabitkan lebih RM20 juta. Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata ketiga-tiga suspek itu ditahan di dua lokasi di sekitar Alor Setar dan di Perlis pada kira-kira 10 hingga 11 pagi Isnin hasil risikan pihaknya. Mereka yang ditahan adalah seorang pegawai kanan Imigresen Padang Besar yang berusia 37 tahun, seorang pegawai penguat kuasa Imigresen Padang Besar berusia 34 tahun dan seorang kontraktor berusia 48 tahun. "Kedua-dua pegawai kanan itu ditahan kerana menerima rasuah daripada kontraktor berkenaan bagi meluluskan pas ekspatriat pengambilan pekerja mahir dan profesional. Setakat ini, sebanyak 339 permohonan yang melibatkan 18,626 pas telah diluluskan. "Setiap individu membayar kira-kira RM1,500 seorang untuk mendapat kelulusan pas berkenaan," katanya pada sidang media di sini, Selasa. SPRM Kedah turut merampas barangan dan wang bernilai RM1.9 juta yang merangkumi lima kenderaan mewah dan sebuah motosikal berkuasa tinggi, jam tangan dan beg tangan wanita berjenama serta deposit tetap hampir RM1 juta. - BERNAMA