suria

Khairil Aslan Selamat Tiba

Khairil Aslan bergambar di hadapan batu tanda Tanjung Piai yang menandakan beliau berada di penghujung benua Asia. fotoBERNAMA

PONTIAN: Jalan berbukit, berliku dan berpasir ternyata tidak mematahkan semangat misi kayuhan pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rashid untuk meneruskan ekspedisi Kayuhan Solo ''Dari Masjid Ku Menjelajah''.

Khairil Aslan, 42, tiba di perkarangan Taman Negara Johor Tanjung Piai, di sini, pada 5.50 petang Selasa selepas berkayuh sejauh 114.6 kilometer dari Kota Tinggi pada pukul 10.30 pagi.

"Perjalanan hari ini agak mencabar kerana laluan dari Kota Tinggi menuju ke Kulai saya ibaratkan seperti ''badan naga'' kerana beralun dan berliku sama seperti laluan yang saya tempuh dari Mersing ke Kota Tinggi semalam," katanya.

Khairil Aslan berkata perjalanannya terhenti seketika di Pekan Nenas, di sini, berikutan pasir yang masuk ke dalam bearing basikal, namun, dapat dibaiki dengan bantuan seorang pemilik kedai basikal secara percuma.

Beliau berkata laluan dari Kota Tinggi menuju Kulai merupakan laluan yang paling berbahaya berikutan banyak lori dipandu laju manakala cabaran laluan Tanjung Piai pula adalah jalan yang rata dan terpaksa melawan angin yang mana ia memerlukan tenaga yang lebih untuk memastikan basikal bergerak.

"Sepanjang jalan Kota Tinggi-Kulai tadi memang banyak lori, jarak antara saya dan lori hanya satu kaki, tetapi saya tawakal dan teruskan perjalanan. Di Tanjung Piai pula lain cabarannya, mungkin kerana ia berdekatan dengan kawasan pantai, jadi kita berkayuh melawan angin dan itu yang membuatkan saya cukup penat," katanya.

Menurut Khairil Aslan, beliau akan bergerak ke Batu Pahat, esok, sebelum ke Melaka.Katanya dari Melaka dia akan berkayuh ke Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum mengakhiri perjalanan di Masjid Bandar Seri Putera, Bangi, Selangor yang dijangka akan mengambil masa selama lima hari.

Khairil Aslan berkata beliau juga mengambil gambar di destinasi menarik sepanjang ekspedisinya dan berkongsi di laman Facebook serta Instagram miliknya sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menyokong beliau.

Beliau yang meminati sukan lasak itu menambah beliau juga sedang mempertimbangkan hasrat untuk berkongsi pengalaman dalam sebuah buku, namun, masih mencari masa untuk merealisasikan impian itu.

Beliau memilih masjid sebagai tempat persinggahan sepanjang ekspedisinya sebagai usaha untuk mendekati masyarakat setempat khususnya golongan belia di samping berkongsi pengalaman sebagai pendaki dan pengayuh basikal secara solo.

Ekspedisi selama 30 hari sejauh 2,700 kilometer itu bermula pada 16 April lepas di Masjid Bandar Seri Putera, Bangi sebelum berakhir di masjid sama dan ia merupakan latihan Khairil Aslan untuk Ekspedisi Solo Semenanjung Malaysia Berbasikal dan Mendaki selama 67 hari bermula Jun ini.

Khairil Aslan yang berasal dari Batu Kurau, Perak pernah menawan tiga puncak Himalaya iaitu Puncak Mera, Lobuche dan Island dalam tempoh 32 hari bermula 26 Nov 2015 dan mencipta rekod sebagai antara pendaki solo Asia melakukan ekspedisi ke ketiga-tiga puncak berkenaan pada musim sejuk. - BERNAMA

Artikel Lain