suria

Keharmonian Negara Penting - Najib

Najib Tun Razak tiba pada Majlis Jamuan Teh Sempena Hari Wesak Kebangsaan di Bangunan Samadhi Vihara, Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Rabu. Foto: Bernama

SHAH ALAM: Masa depan Malaysia bergantung kepada kestabilan politik dan sosial berterusan, yang pada masa sama, memerlukan keharmonian antara agama dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menarik perhatian bahawa keharmonian antara agama adalah berasaskan kepada persefahaman bersama serta saling menghormati.

"Ini adalah antara nilai-nilai intrinsik yang kita perlu sebarkan dan perkukuhkan," kata beliau pada majlis minum petang sempena sambutan Hari Wesak Kebangsaan di sini, Rabu.

Najib berkata bapa-bapa pengasas negara serta semua yang lain bukan sekadar meletakkan dasar-dasar Perlembagaan malah menyemai nilai-nilai dan asas politik untuk generasi-generasi Malaysia selepas mereka, bagi membentuk keharmonian antara agama.

Ini hendaklah diguna pakai bagi membentuk perpaduan yang lebih utuh dalam kalangan rakyat Malaysia, kata beliau.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Naib Presiden Persatuan Buddha Malaysia Sit Chan Liang.

Semasa berucap, Najib turut memuji para penganut Buddha yang hadir pada majlis itu apabila mereka berdiam diri seketika semasa azan solat Asar berkumandang.

"Sebentar tadi, satu lagi contoh bagaimana kita saling menghormati antara kaum dan agama dalam negara kita kerana bila azan berkumandang, tuan-tuan yang menganuti Buddha menghormati azan yang begitu dekat di hati orang Islam.

"Terima kasih saya ucapkan kerana tunjuk sikap hormati agama lain," kata beliau lalu disambut dengan tepukan para hadirin.

Najib menganggap Malaysia negara yang unik berikutan kaitannya dengan tamadun besar Asia yang wujud di Kepulauan Melayu, China dan India.

Malaysia turut mendapat manfaat daripada semua ajaran, pembelajaran, nilai, budaya, agama dan bahasa dari tamadun besar itu, kata beliau.

Najib berkata beliau baru mengadakan lawatan yang amat berjaya ke India, dan tidak sampai 24 jam lagi, beliau akan melawat China pula.

"Semua lawatan ini tidak akan berjaya tanpa kita menjadi model sebuah negara yang bersatu padu dalam kepelbagaian," kata perdana menteri. 

Menurutnya Malaysia dihormati banyak negara lain sejak sekian lama kerana ia merupakan negara contoh bagi banyak aspek.

"Kita tidak berdepan ketegangan, konflik, keganasan seperti yang dialami negara-negara lain,” kata Najib sambil memberitahu bahawa Malaysia dilihat oleh banyak pihak sebagai neagra yang aman dan harmoni.

"Jadi, marilah kita memastikan semua ini berterusan pada masa depan... adalah penting bagi kita untuk mengingatkan diri kita tentang nilai-nilai kukuh yang dibawa oleh agama masing-masing," kata Najib.

Dengan mengambil  contoh agama Buddha, beliau berkata ia terkenal dengan belas kasihan, komitmen kepada keamanan dan keharmonian, membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik serta menolak ekstremisme dan keganasan.

Sehubungan itu, Najib meminta rakyat Malaysia supaya tidak membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh unsur-unsur ekstremis dalam masyarakat.

Perdana menteri juga menggesa rakyat Malaysia supaya menyokong satu sama lain untuk memastikan Malaysia menjadi lebih kukuh dan baik.

"Saya tidak boleh melakukannya sendiri sebagai perdana menteri, kerajaan dan masyarakat tidak boleh melakukannya sendirian, tetapi secara bersama-sama, kita boleh (lakukannya).

"Jika kita komited untuk bekerja bersama-sama atas dasar saling menghormati dan memahami, dan kita percayakan keharmonian antara agama, sentiasa bersederhana, ikhlas dengan agama kita, menolak ekstremisme dan memilih kata-kata kita dengan bijak, ia pasti melahirkan masyarakat Malaysia yang baik hati dan sopan,” kata beliau.

Sementara itu, penganut agama Buddha membanjiri kuil-kuil di seluruh negara antaranya kuil Buddha Maha Vihara di Brickfields, Kuala Lumpur sempena Hari Wesak.

Walaupun keadaan cuaca  tidak menentu sepanjang hari, mereka terus membanjiri kuil berusia 123 tahun itu seawal 6 pagi untuk mengadakan upacara sembahyang.

Neoh Lik Hoey, 38, seorang sukarelawan kuil selama lebih 10 tahun berkata, sambutan tahun ini berlangsung dalam suasana ceria dan berwarna-warni walaupun menghadapi kekurangan  ruang kerana satu daripada  bangunan utama kuil sedang dalam pengubahsuaian.

Hari Wesak ialah hari terpenting dalam kalender Buddha. Ia melambangkan kelahiran, pencerahan dan kematian Gautama Buddha yang mengasaskan ajaran  agama Buddha. Penganut Buddha menyambut hari terpenting ini dengan pelbagai cara antaranya dengan berpuasa dan memakan hanya sayur-sayuran, bersembahyang, memberi makan kepada orang miskin dan menderma darah.-Bernama

Najib, Hari Wesak, Agama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain