KUALA LUMPUR: Seorang pemilik restoran dan tukang masak yang didakwa memukul seorang pekerja restoran wanita ketika sedang bekerja di Bandar Sungai Long, Kajang ditahan polis pada Selasa. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Polis (ACP) Othman Nanyan berkata, pemilik restoran berusia 46 tahun itu ditahan di rumahnya pada 6.55 petang, manakala tukang masak berusia 16 tahun ditahan di Balai Polis Kajang selepas menyerah diri pada pukul 8.30 malam. “Siasatan awal mendapati mangsa pernah dipukul majikannya sebelum kejadian ini namun tidak melaporkan kepada polis, dia buat laporan polis setelah rakaman video insiden pada Sabtu lepas menjadi tular di laman sosial,” katanya ketika dihubungi di sini, Rabu. Beliau berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 5.30 petang, Sabtu lepas itu dipercayai berpunca akibat mangsa tidak mengikut arahan majikan semasa bekerja. Othman berkata, wanita warga tempatan itu telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kajang dan tiada kecederaan serius dilaporkan. Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan mengugut. Rakaman video berdurasi enam minit dan 56 saat menunjukkan mangsa ditampar di bahagian muka dan kepala oleh dua lelaki, menjadi tular di media sosial terutama Facebook.- Bernama