suria

MRT Gaya Hidup Terkini Warga Kota

Othman (tengah kemeja biru) ketika meninjau perkembangan laluan MRT-SBK yang akan beroperasi sepenuhnya Julai ini.

SUNGAI BULOH: Jumlah penumpang Transit Aliran Massa Sungai Buloh-Kajang (MRT-SBK) dijangka meningkat sebanyak 1,000 peratus apabila laluan perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya pada Julai ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz berkata, jumlah penumpang pada masa ini mencecah 15,000 orang sehari sekali gus mengakui  peningkatan itu akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi terutama di kawasan berhampiran stesen-stesen MRT.

"Apabila kita ada projek mega seperti MRT, sudah tentu akan ada pembangunan sampingan seperti bangunan komersial baharu sedang dibina.

"Inilah hasil daripada wujudnya prasarana yang begini besar. Maka, sudah tentu harga hartanah dan nilai komersial akan meningkat," katanya ketika ditemui di Depot MRT Sungai Buloh di sini pada Khamis.

Terdahulu, Othman meluangkan masa melawat bilik pusat kawalan utama MRT dan  kawasan depot untuk melihat sendiri kemajuan yang dilaksanakan oleh pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) dan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Beliau berharap perkhidmatan MRT dapat menjadi sebahagian daripada gaya hidup warga kota apabila beroperasi sepenuhnya kelak.

"Saya yakin MRT Corp dan Prasarana bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan berbaloi kepada masyarakat.

"Saya juga berharap perkhidmatan MRT boleh menjadi pengubah strategi kepada masyarakat bandar pada masa akan datang," katanya.



MRT, Othman Aziz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain