PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tiada masalah menjadi 'pemanas kerusi' untuk suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Saya tidak kisah, ya," kata Dr Wan Azizah menjawab soalan Mehdi Hasan dalam program UpFront, Al Jazeera. Al Jazeera menyiarkan coretan temubual bersama Dr Wan Azizah selama seminit pada Jumaat.Episod penuh temubual itu akan disiarkan pukul 3.30 pagi (waktu Malaysia), Sabtu. "Terus-terang, beliau adalah pemimpin lebih baik. Beliau pentadbir yang lebih baik. Beliau individu yang lebih baik untuk jawatan itu. Mengapa tidak?," katanya ketika ditanya mengapa beliau akan melepaskan jawatan perdana menteri jika pembangkang menang. Mehdi kemudian bertanya mengapa rakyat perlu mengundi Dr Wan Azizah jika beliau tidak akan menjadi perdana menteri. Dr Wan Azizah mendakwa tinjauan pendapat mendapati Anwar adalah paling popular. "Salah satu tinjauan pendapat menunjukkan Anwar adalah pemimpin yang sepatutnya menjadi perdana menteri yang baharu," katanya. Pakatan Harapan berkata Anwar akan menjadi perdana menteri jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak usaha terakhir Anwar untuk mengetepikan sabitan meliwat dan hukuman penjara lima tahun ke atas beliau kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Anwar sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.