suria

Saya Tidak Rasa Bersalah Ingin Bina Infrastruktur Bertaraf Dunia

Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak berasa bersalah kerana ingin membina infrastruktur bertaraf dunia untuk Malaysia walaupun dikritik beberapa ahli politik pembangkang.

Sambil menyatakan bahawa terdapat beberapa ahli politik pembangkang berkata kerajaan menjual kedaulatan negara dengan bersetuju untuk melaksanakan beberapa projek dengan China, Najib menegaskan projek sedemikian akan memajukan banyak kawasan di Malaysia.

Beliau berkata tanpa mengorbankan pemilikan rakyat tempatan, pembinaan infrastruktur itu akan membawa lebih banyak perdagangan dan peluang kepada rakyat Malaysia, beribu-ribu pekerjaan baharu, taraf kehidupan yang lebih baik serta kemakmuran kepada mereka.

"Pada era Laluan Sutera dahulu, mereka yang bijaksana menyedari bahawa keterbukaan minda serta langkah membuka sempadan kepada perdagangan, bukanlah sesuatu yang menggadaikan kedaulatan, malah ia memberi manfaat kepada semua negara.

"Hakikat itu juga wujud pada hari ini dan kami mengalu-alukan pelaburan daripada semua sahabat dan rakan kongsi, sama seperti Malaysia, sebuah negara kelautan, yang memandang jauh ke hadapan, sentiasa melabur dan menjalin perdagangan dengan negara dari seluruh dunia, termasuk China," katanya.

Najib berkata demikian dalam artikelnya bertajuk "Kenapa Malaysia Sokong Inisiatif "One Belt, One Road" China yang disiarkan akhbar South China Morning Post pada Jumaat.

Dalam artikelnya, Najib juga menyorot lawatannya ke China baru-baru ini yang menyaksikan perjanjian dan persefahaman dengan nilai berjumlah RM144 bilion telah ditandatangani, sambil menambah ia merupakan bukti tentang keyakinan tinggi pelabur China terhadap Malaysia.

Katanya walaupun beliau baru sahaja melakukan lawatan itu, tetapi hasilnya sudah dapat dilihat. Sebagai contoh, pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital pertama dunia di Kuala Lumpur.

"Kapal misi litoral yang kami bersetuju untuk beli daripada China, akan mewujudkan peluang pekerjaan di Malaysia dan China - kerana dua kapal berkenaan sedang dibina masing-masing satu di Malaysia dan China, di samping pemindahan teknologi kepada Malaysia dan membantu menjaga keselamatan semua rakyat Malaysia.

"Ini merupakan suatu bukti jelas mengenai kerjasama menang-menang dan sekiranya atas landasan itulah inisiatif Belt and Road akan dibangunkan, maka kita semua patut mengalu-alukannya. Kita semua perlu memberi sumbangan dan menyertainya. Kita juga perlu mendoakan kejayaannya," katanya.

Sementara itu, Najib yang berada di China untuk lawatan kerja lima bagi menghadiri Forum Belt and Road untuk Kerjasama Antarabangsa berkata forum ini memberi penekanan terhadap perbincangan bersama, pembinaan secara bersama dan perkongsian bersama.

"Perkara ini amat dialu-alukan dan saya yakin bahawa perjanjian yang akan ditandatangani para peserta kelak, termasuk Malaysia, akan meletakkan kita di landasan kukuh untuk mara ke fasa berikutnya dalam rancangan yang hebat ini," katanya.

Beliau berkata kerjasama menang-menang dapat disaksikan di ASEAN apabila pertubuhan itu melihat kebenaran yang terkandung di dalamnya apabila membuat pertimbangan tentang beberapa projek infrastruktur yang akan mengubah rentak permainan, hasil daripada inisiatif Belt and Road itu.

"Sebagai contoh, Projek Kereta Api China-Laos; projek Kereta Api Laju Jakarta-Bandung; projek Kereta Api Laju Nakhon Ratchasima-Bangkok; dan, bagi kami sendiri di Malaysia, projek Rel Pantai Timur," katanya.

Najib menjelaskan landasan itu akan memacu ketersambungan serta pertumbuhan ekonomi bagi wilayah pantai timur Malaysia yang masih kurang membangun ketika ini serta menjadi jambatan darat yang akan membolehkan barangan diangkut secara cekap kos dan masa antara Afrika, Timur Tengah dan Asia.

"Sementara itu, apabila Asia terus bangkit dan menduduki tempat lebih penting di pentas dunia, model ini akan memastikan kita melaksanakannya sebagai sahabat kepada semua, membantu mereka yang ketinggalan di negara masing-masing dan di bahagian lain dunia serta membukanya kepada kawasan dan rakan kongsi dari serata benua.

Sekarang adalah "Abad Asia", maka marilah kita sama-sama memastikan ia tidak ditandai dengan keadaan huru-hara, perang atau permusuhan yang diwarisi daripada abad lepas.

Sebaliknya, marilah kita sama-sama berpegang teguh kepada nilai saling menghormati antara kita, keamanan, keharmonian dan tidak campur tangan dalam hal ehwal negara berdaulat lain.

Marilah kita sama-sama melangkah ke hadapan dengan membina laluan baharu perdagangan, yang bukan sahaja tidak menghapuskan yang lain, malah meningkatkan lagi kesejahteraan semua umat manusia," katanya. -Bernama

Najib Razak, projek, China

Artikel Sebelum

Artikel Lain