suria

Khairil Aslan Tamatkan Kayuhan Solo

Khairil Aslan berjaya menamatkan acara kayuhan solo menjelajah dari masjid ke masjid di Masjid Bandar Seri Putra pada Ahad. fotoBERNAMA

BANGI: Pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rasid pada Ahad berjaya menamatkan ekspedisi Kayuhan Solo ''Dari Masjid Ku Menjelajah'' sejauh kira-kira 2,700km selama 29 hari.

Khairil Aslan, 42, bertolak dari Masjid Putra di Nilai, Negeri Sembilan pada pukul 3 petang bagi menyelesaikan baki 30km kayuhan dan tiba di lokasi beliau memulakan kayuhannya pada 16 April lepas iaitu Masjid Bandar Seri Putra (MBSP), di sini, pada pukul 5 petang.

Menceritakan kembali pengalamannnya, beliau berkata antara cabaran terbesar sepanjang misi itu adalah kayuhan pendakian selama tiga hari berturut-turut dari Sungai Petani, Gerik, Banding dan seterusnya ke Jeli.

"Yang paling tinggi pendakian di puncak Titiwangsa sejauh 65km dari Banding. Bagi saya ia ujian mental yang cukup hebat kerana saya hanya boleh mengayuh antara 4km hingga 5km per jam sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menyambut ketibaannya yang turut dihadiri Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Abd Wahab.

Khairil Aslan berkata sepanjang kayuhan itu, beliau telah mengelilingi 10 negeri serta tiga pulau iaitu Pulau Pangkor, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi, selain singgah di titik hujung benua Asia, Tanjung Piai.

Sepanjang kembara itu, katanya beliau juga sempat singgah di lebih 150 masjid dan beriktikaf di 28 masjid.Khairil Aslan berkata beliau sangat terharu dan bersyukur dengan sambutan dan bantuan yang dihulurkan oleh kariah-kariah masjid yang disinggahi, selain dapat melihat sendiri keindahan masjid-masjid di Semenanjung Malaysia.

Menurut bapa kepada empat anak berumur antara 8 dan 18 tahun itu, misi seterusnya adalah untuk menawan Gunung Cho Oyu di Tibet dengan tema ''Dari Masjid ke Kemuncak'' pada Oktober ini.

"Saya akan bekerjasama sekali lagi dengan kariah MBSP kerana saya ingin membawa unsur Islam dalam setiap penjelajahan saya," katanya.

Sementara itu, Zakaria dalam ucapannya berkata Bernama menyokong misi kayuhan solo Khairil Aslan memandangkan tujuan beliau yang murni untuk mengembangkan syiar Islam melalui sukan.

Beliau turut memuji kekuatan mental Khairil Aslan yang disifatkannya mengatasi kekuatan fizikal sehingga dapat menamatkan kayuhan dalam tempoh yang telah dirancang.

"Paling penting objektifnya yang murni dengan pendekatan menjelajah dari masjid ke masjid, berbeza dengan orang lain yang bersukan begitu sahaja untuk kesihatan sendiri," katanya.

Khairil Aslan yang berasal dari Batu Kurau, Perak, pernah menawan tiga puncak Himalaya iaitu Puncak Maru, Lobuche dan Island dalam tempoh 32 hari pada 2015, dan turut mencipta rekod antara pendaki solo Asia yang melakukan ekspedisi di ketiga-tiga puncak berkenaan pada musim sejuk. 

pendaki solo

Artikel Sebelum

Bahaya Tapi Berbaloi!

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan