suria

Tiga Warga Turki Disoal Siasat Sebaik Tiba Di Istanbul

PETALING JAYA: Tiga lelaki warga Turki yang ditahan dan dihantar pulang kerana didakwa mengancam keselamatan negara dilaporkan disoal siasat sebaik tiba di tanah air mereka.

Ketiga-tiga suspek, Turgay Karaman, 43, Ihsan Aslan, 39, dan Ismet Ozcelik, 58, dihantar pulang pada malam Khamis kerana disyaki terlibat dengan Pertubuhan Pengganas Fetullah (FETO).

Menurut agensi berita Turki, Anadolu, mereka ditahan sebaik tiba di Istanbul dari Malaysia pada Jumaat.

Mereka diserahkan kepada unit anti keganasan Jabatan Polis Ankara untuk disoal siasat.

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata berdasarkan siasatan, ketiga-tiga warga Turki itu dipercayai terlibat dengan FETO.

Turgay dan Ihsan ditahan pada 2 Mei lalu manakala Ismet ditangkap dua hari kemudian ketika sedang menaiki kereta bersama anak lelakinya, Suheyl dan seorang individu tidak dikenali.

Ismet sepatutnya dibicarakan kerana didakwa menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas mereka.

Sementara itu, isteri Ihsan, Noor Svetlana Mohd Noor Noordin berkata dia tidak tahu suaminya telah dihantar pulang dan hanya mengetahui berita itu setelah dihubungi wartawan.

Ainnurul berkata tiada petunjuk suaminya akan dihantar pulang ketika dia bertemu dengannya pada petang Khamis ditemani peguam.

FETO, Turki

Artikel Sebelum

Pengasas JJPTR Diburu

Artikel Lain