suria

Warga Asing Dalang Sindiket Klon Kereta Mewah

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan pembabitan warga asing terutama dari Timur Tengah dalam sindiket klon kenderaan mewah di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nadzri Siron berkata siasatan awal mendapati sindiket itu kemudiannya akan menjual kenderaan tersebut dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran kepada warga asing yang menetap di negara ini.

“Sindiket itu menjual pelbagai jenis kenderaan klon seperti Toyota, Mitsubishi dan Honda dengan harga serendah antara RM20,000 dan RM30,000,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zon Timur pada Isnin.

Turut hadir Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapa, Pengarah JPJ Pahang, Datuk Mark Ujin dan Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie.

Selasa lepas, penyerang import skuad bola sepak Liga Super Selangor, Francis Forkey Doe didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas mengaku salah memiliki kereta klon jenis BMW 325i.

Bagaimanapun, Nadzri berkata JPJ masih menyiasat sejauh mana penglibatan warga asing berkenaan dalam sindiket terbabit di negara ini.

Beliau berkata sebelum ini penjualan kenderaan klon didominasi sindiket tempatan yang menyasarkan warga tempatan terutama golongan pertengahan yang tertarik dengan kereta keluaran luar negara yang dijual dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 97 kakitangan JPJ Zon Timur menerima APC selepas menunjukkan prestasi cemerlang dan komitmen yang tinggi.

“Mereka adalah sebahagian daripada 612 kakitangan di seluruh negara yang menerima APC sebelum ini membabitkan Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Utara dan Zon Sarawak,” kata Nadzri.-Bernama

Klon, Kereta Mewah, Warga Asing

Artikel Sebelum

Hargai Sumbangan Guru

Artikel Berikut

Artikel Lain