suria

JJPTR 'Tutup Kedai'

Pejabat JJPTR di Bayan Baru, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Pejabat-pejabat operator permainan wang, JJPTR dilaporkan telah ditutup sejak Jumaat lepas susulan serbuan pasukan petugas khas yang menyiasat skim ini.

Tidak ada tanda-tanda menunjukkan pekerja atau pelaburnya berada di pejabatnya yang terletak di Jalan Perak, Bandar Baru Air Itam dan Bayan Baru, Selasa.

Pelabur seolah-olah terpaksa menelan hakikat bahawa wang mereka 'lebur' selepas Pengasas JJPTR, Johnson Lee dan dua orang kanannya ditahan di Klang.

Laman Facebook dan laman media sosial yang mempromosikan skim itu juga 'senyap'.

Pelabur, Y.L. Ho yang berusia lingkungan 50-an, berkata beliau sudah tahu tentang nasibnya apabila pasukan petugas menyerbu lapan premis JJPTR di Pulau Pinang dan mengambil keterangan 15 pekerja dan empat pelabur.

Dia masih belum mendapatkan pulangan modal RM4,700 dan telah rugi kira-kira RM1,600.

"Saya diberitahu bahawa pengasasnya ditahan reman. Saya tak fikir saya akan dapat balik duit saya," katanya.

Seorang lagi pelabur yang hanya dikenali sebagai Goh juga percaya pelaburannya telah lesap.

"Tak ada gunanya pergi ke pejabat mereka untuk membuat pertanyaan lanjut," katanya.

Pada Jumaat, pasukan petugas merampas dokumen dan komputer dari pejabat utama JJPTR di Jalan Perak.

Selain pejabat JJPTR, ​​pasukan itu juga menyerbu pejabat pengendali lain, Change Your Life’s (CYL) di Icon City, Bukit Mertajam.

Ahli perniagaan S.K. Yeoh, yang telah melabur dalam beberapa skim permainan wang seperti CYL dan Richway Global Venture, berkata beliau sudah putus harapan untuk mendapatkan semula bayaran bulanannya.

"Berikutan campur tangan pihak berkuasa, saya rasa pulangan saya sudah lesap.

"Nasib baik saya sudah dapat pulangan modal. Jika tidak, keadaan mungkin menjadi lebih teruk," katanya.

Seorang lagi yang terlibat dalam permainan wang, Ben Chow, 35, berkata, ramai kawan-kawannya tahu apabila mereka mengambil keputusan untuk melabur dalam skim cepat kaya, ia ibarat satu perjudian.

"Lihat saja jumlah laporan polis yang dibuat dan anda akan dapat beberapa bayangan. Ramai kawan saya tahu bagaimana skim ini berjalan. Mereka tidak buat laporan polis.

"Mereka sentiasa mencari platform baru, mereka tahu bahawa mereka boleh mendapat wang mudah jika menjadi antara perintis. Jika mereka rugi, mereka menyalahkan nasib," kata Chow, yang melabur dalam BTC I-sistem dan beberapa permainan wang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Chuah Ghee Lye berkata mereka sedang menunggu arahan daripada Bukit Aman sebelum mengambil tindakan seterusnya.

"Kita tidak akan terburu-buru. Kita akan menunggu dan melihat hasil siasatan terhadap JJPTR.

"Tidak ada alasan untuk kami untuk memanggil pelabur merekodkan kenyataan, melainkan jika mereka datang kepada kami dan membuat aduan.

"Ketua Polis Negara telah memberikan kami tiga bulan untuk menyiasat perkara itu.

"Bank Negara memainkan peranan yang aktif dalam siasatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen derma darah di Tanjung City Marina, Selasa.

JJPTR, skim pelaburan forex

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain