suria

Apa Itu Ziarah Dalam & Luar Jemaah Umrah

ASSALAMUALAIKUM. Menerusi catatan kali ini, apa kata kita sama-sama mengimbas kembali beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum melangkah ke Tanah Suci Madinah dan Makkah bagi menunaikan ibadat umrah.

Ada jemaah yang akan mengikuti kursus umrah yang dikendalikan agensi pengendali yang dipilih. Cukupkah sekali mengikuti kursus itu?

Jika baru kali pertama, sebaik-baiknya ikutilah kursus umrah teori dan praktikal sekurang-kurangnya dua kali tetapi jika sudah berpengalaman, memadai untuk mengikutinya sekali. Biarpun sudah beberapa kali menunaikan umrah, saya tetap nasihatkan jemaah agar ikuti lagi kursus dilaksanakan sebab penceramah atau pembimbing umrah tentu mempunyai tip tersendiri.

Bagaimanapun, perkara asas yang perlu diketahui umum ialah rukun umrah dan wajib umrah. Ada lima rukun umrah dan dua wajib umrah. Kecanggihan teknologi ketika ini memudahkan anda untuk memuat turun atau mencatatkannya di dalam nota telefon bimbit.

Jika suatu ketika dahulu, di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, penggunaan telefon bimbit dilarang, tetapi sekarang sudah berbeza. Keadaan ini sekali gus memudahkan lagi jemaah, terutama warga muda yang lebih selesa memegang telefon bimbit berbanding buku doa.

Lima rukun umrah yang perlu diingat ialah niat ihram, tawaf, saie, tahalul dan tertib, manakala wajib umrah adalah berniat ihram di miqat dan tidak melanggar pantang larang ketika di dalam ihram.

Selain menyempurnakan umrah, jemaah yang baru kali pertama menunaikan ibadat itu teruja untuk mengetahui apakah aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang kira-kira 10 hari di Tanah Suci.

Menerusi pertanyaan rambang penulis melalui aplikasi Whatsapp berkumpulan warga berusia di antara 18 dan 25 tahun mendapati ramai yang ingin mengetahui lokasi bersejarah dan menarik yang boleh dikunjungi di Tanah Suci sepanjang menunaikan umrah.

Ada juga bertanya mengenai cara bersedekah, peluang menyambung pelajaran, mencari pekerjaan, menetap di situ, mencari kenalan baru dan membuka perniagaan. Tidak kurang juga yang mahu perbanyak doa di depan Kaabah, menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W, bertaubat dan melipatgandakan ibadat di masjid.

Menerusi catatan minggu ini, penulis ingin berkongsi lokasi atau tempat bersejarah yang sering dikunjungi ketika jemaah umrah dan haji menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Ziarah Dalam

Ziarah di Madinah terbahagi kepada dua iaitu ziarah dalam dan ziarah luar. Ziarah dalam adalah menziarahi Masjid Nabawi, makam Nabi Muhammad S.A.W, makam sahabat iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab.

Sampaikan salam kepada Rasulullah dan sahabat ketika menziarahi makam dan ketika di Raudah, banyakkan berdoa di taman syurga itu. Untuk mengenali Raudah, pastikan anda sudah memijak permaidani berwarna hijau muda. Sejurus berada di situ, berdoa dan jika keadaan tidak sesak, eloklah bersolat sunat dua rakaat.

Raudah adalah tempat di antara mimbar dengan makam Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Di antara rumahku dan mimbarku ialah raudah (taman) dari taman-taman syurga dan mimbarku di atas telaga (kautsar) ku.

"Untuk jemaah wanita, laluan masuk ke Raudah adalah dari pintu 25. Tempoh masa untuk ke Raudah bagi jemaah wanita terbahagi kepada tiga sesi dari jam 7 pagi hingga 11 pagi, 1 tengah hari hingga 3 petang dan 9 malam hingga 11 malam.

Jika suatu ketika dahulu, kunjungan ke Raudah tidak diiringi muzawirah atau mutawifah tetapi sekarang sebahagian besar pengendali umrah menyediakan khidmat itu, sekali gus memudahkan jemaah untuk memasuki Raudah yang acapkali sesak.

Bersabarlah jika mahu ke Raudah kerana jemaah dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia sering menjadi kumpulan jemaah terakhir untuk masuk ke dalam Raudah. Tidak rugi bersabar dan menjadi kumpulan jemaah terakhir memasuki Raudah kerana laluannya lebih mudah dan lapang, sekali gus memudahkan jemaah untuk bersolat dengan tenang.

Namun, sebahagian besar hilang sabar terutama jika ke Raudah pada sebelah malam kerana badan terasa letih dan mata mula mengantuk tambahan pula perubahan masa di antara Arab Saudi yang lewat lima jam dari Malaysia.

Dalam hal ini, saya berpesan kepada jemaah, sebaik-baiknya, berkunjunglah ke Raudah selepas sarapan kerana badan lebih segar dan mata tidak mengantuk ketika itu. Saya dan sekumpulan jemaah haji pernah memperoleh ruang yang selesa untuk bersolat dan berdoa di Raudah pada sebelah pagi kerana membiarkan sahaja sebahagian besar jemaah berebut-rebut memasuki Raudah pada musim haji 2015.

Tidak sia-sia penantian kami sebab boleh bersolat sunat lebih daripada dua rakaat tanpa gangguan dan asakan dariipada jemaah lain. Alhamdulillah. Kunjungan ke Raudah di kalangan jemaah lelaki tidak terbatas. Mereka bebas berkunjung ke taman syurga itu pada bila-bila masa.

Ziarah Luar

Merangkumi beberapa lokasi di luar Masjid Nabawi iaitu Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan makam syuhada’ Uhud, ladang tamar dan perkuburan Baqi’.

*Masjid Quba – Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah S.A.W ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah. Sabda Nabi Muhammad bermaksud: “Sesiapa yang pergi ke Masjid Quba’ dari rumahnya dalam keadaan berwuduk dan solat sunat dua rakaat di dalam masjid berkenaan, ganjarannya satu pahala umrah."

*Masjid Qiblatain – pernah dikenali sebagai masjid Bani Salamah. Namanya ditukar kepada masjid Qiblatain kerana turunnya ayat yang memerintahkan agar Nabi Muhammad menghadap ke Kaabah ketika bersolat. Sebelum itu, Rasulullah dan sahabat bersolat menghadap ke Baitul Muqaddis.

*Uhud – satu-satunya bukit di dunia ini yang akan masuk ke syurga. Setiap kali menjejakkan kaki ke Uhud dan sekitarnya, hati terasa sayu. Perang Uhud tercetus pada tahun 625 Masihi dengan jumlah Islam 700 orang manakala kafir Quraisy 3,000. Kekalahan pada peperangan itu turut mengorbankan 70 tentera Islam dan Rasulullah mengalami kecederaan serta patah gigi geraham.

*Ladang Tamar – destinasi popular untuk jemaah berbelanja tamar, kekacang dan manisan. Jemaah juga berpeluang menikmati teh sambil bersantai di persekitaran ladang tamar.

*Perkuburan Baqi’ – tanah perkuburan penduduk Madinah dan mereka yang meninggal dunia di Madinah. Isteri-isteri Rasulullah dan anak cucu Nabi Muhammad disemadikan di situ. Dianggarkan 10,000 sahabat bersemadi di tanah perkuburan berkenaan. Tempat yang dinyatkan paling sering dikunjungi jemaah haji dan umrah. bagaimanapun, ada lagi lokasi bersejarah yang tidak dikunjungi tetapi mungkin jemaah dibawa melaluinya seperti Masjid Jumaat, Masjid Ghamamah dan Masjid al-Fath. Masjid Jumaat terletak tidak jauh dari Masjid Quba dan di masjid itu solat Jumaat yang pertama didirikan dan pada waktu itu jumlah jemaah yang mengerjakannya adalah 40 orang.

InsyaAllah bersambung minggu depan.
Masjid Quba', Jabal Uhud

Artikel Sebelum

Selangor Berdepan Krisis

Artikel Berikut

Artikel Lain