suria

Pemandu Rempuh Tapak Penjaja

Gerai penjaja char kuey teow ini punah ketika dalam kejadian sebuah kereta terbabas di Tapak Penjaja Sementara Lorong Batu. - Penang Kini

GEORGE TOWN: Suasana di tapak penjaja sementara Lorong Baru di sini gempar apabila sebuah kereta terbabas lalu merempuh gerai penjaja dan orang awam yang berada berdekatan kawasan itu.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada petang Jumaat itu dikongsikan di laman sosial Facebook, Penang Kini kira-kira sejam lalu.

Dalam rakaman video selama lebih seminit itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian hitam dilihat berlumuran darah dan terbaring di atas jalan raya sambil cuba dibantu oleh orang awam.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki yang cedera itu adalah pemandu kenderaan tersebut atau pun orang awam.

Rakaman itu turut menunjukkan gerai-gerai penjaja di tapak penjaja sementara Lorong Baru menjadi kucar-kacir dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Seorang pengguna Facebook, Ismanizal Ibrahim berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) harus mengkaji semula permit perniagaan yang diberikan kepada para penjaja di kawasan tersebut kerana kejadian terbabit boleh membahayakan nyawa orang awam.

"Nasib baik yang langgaq (langgar) tu reta (kereta). Kalau lori atau bas yang terbabas seperti itu, lagi ramai orang yang akan cedera.

"MBPP kena kaji semula semua permit berniaga seperti ini di tepi atau di tengah jalan di Bandaraya Georgetown tercinta ini," tulisnya di ruang komen.

Sementara itu, Penang Kini mencadangkan agar tapak penjaja sementara yang beroperasi di laluan tersebut segera ditutup sebelum tragedi yang lebih buruk berlaku.

Lorong Baru, penjaja

Artikel Sebelum

Artikel Lain