suria

Rangka Manusia Purba P.Pinang Disahkan Berusia 5,710 Tahun

Rangka manusia yang ditemui di Guar Kepah.

GEORGE TOWN: Hasil laporan makmal Radiokarbon Beta Analytic di Florida, Amerika Syarikat menunjukkan rangka dipercayai milik manusia purba berusia 5,710 tahun yang ditemui di tapak arkeologi Guar Kepah, Kepala Batas pada 17 April lepas mengamalkan diet berasaskan fauna iaitu sumber laut bercengkerang sebagai makanan utama.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata hasil laporan yang dikeluarkan pada 17 Mei itu sekali gus membawa kepada penemuan baharu iaitu struktur bukit kerang setinggi 5.49 meter di bahagian dasar tapak berkenaan yang turut dipenuhi dengan artifak tembikar dan alat batu.

"(Penemuan bukit kerang) di luar jangkaan saya, saya ingat dah habis semua (selepas penemuan rangka manusia). Tiba-tiba kita jumpa satu meter yang paling bawah di bahagian dasar. Selepas sebulan dah ada dua laporan keluar iaitu pentarikhan rangka berkenaan yang mengesahkan 5,710 tahun iaitu mewakili masyarakat Neolitik hampir 6,000 tahun dahulu.

"Kelmarin keluar keputusan isotop yang menentukan apakah makanan dan diet dia. Didapati memberikan graf yang sangat menarik dan tepat menunjukkan mereka banyak makan cengkerang laut. Hasil penemuan ini kita dapat membayangkan bagaimana lengkapnya galeri arkeologi Guar Kepah nanti," katanya pada sidang media, di sini Jumaat.

Beliau berkata penemuan bukit kerang itu juga mendedahkan proses pengebumian manusia pada zaman neolitik dan penemuan artifak yang berkaitan seperti tembikar, alat batu dan sisa makanan.

"Ini satu-satunya bukti untuk negara pengebumian dalam bukit kerang. Kita ada rangka manusia di Lenggong, Perak tapi 5,000 tahun dahulu dikebumi dalam gua. Yang ini dikebumi dalam bukit kerang. Keistimewaan dan keunikan galeri arkeologi Guar Kepah pada masa depan adalah sangat menarik, satu-satunya di negara ini yang mewakilli budaya Neolitik," katanya.

Mokhtar berkata pihaknya sedang mengemas kini penemuan bukit kerang itu dan kerja-kerja pengimbasan oleh geofizik akan dijalankan terlebih dahulu untuk menentukan kemungkinan terdapat lagi rangka lain di bawah bukit itu.

"Ini bukan bukit kerang semula jadi. Ini sisa makanan, mereka makan dan buang sampai jadi bukit. Kemudian orang dia mati pun mereka kebumikan dalam bukit kerang tersebut, ia benar-benar unik," katanya.

Beliau berkata penemuan-penemuan itu akan menjadikan data sejarah negara tentang kehidupan masyarakat Neolitik lebih kukuh dan terperinci bahawa mereka bukan hanya duduk di Lenggong, Perak sebaliknya di Guar Kepah di mana mereka tinggal di tepi laut dan berkemungkinan adalah nelayan.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang turut hadir pada sidang media itu berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan khas RM50,000 kepada PPAG sebagai insentif untuk kajian terperinci meliputi kerja-kerja kajian ekskavasi, upahan pekerja, analisis lapangan, pentarikhan, dan analisis saintifik.

Beliau berkata pihaknya turut melantik Mokhtar sebagai ketua penyelidik bagi mengetuai kajian arkeologi saintifik di tapak itu untuk dilaksanakan bersama kakitangan dan pelajar USM.

Guar Kepah, tapak bersejarah yang lebih tua daripada Lembah Bujang dan Sungai Batu, Kedah merupakan satu-satunya lokasi di Semenanjung Malaysia yang menunjukkan bukti penempatan manusia zaman dahulu yang dekat dengan kehidupan laut. - BERNAMA

rangka manusia, kerang

Artikel Berikut

Artikel Lain