IPOH: Kereta seorang anggota polis yang diletakkan di sebuah rumah kosong hangus dipercayai akibat dibakar dalam satu insiden di sini awal pagi Ahad. Menurut sumber semasa kejadian kira-kira 3.45 pagi, anggota polis berpangkat koperal itu dan anggota keluarganya sedang tidur sebelum menyedari terdapat kepulan asap dan kebakaran di kawasan hadapan luar rumahnya. Kejadian tersebut menyebabkan kereta jenis Toyota Ipsum milik anggota polis berkenaan yang diletakkan di rumah sebelah yang kosong, hangus terbakar selain turut mengakibatkan kawasan hadapan rumah mangsa dijilat api. Ahli keluarga mangsa dikatakan terpaksa menyelamatkan diri melalui pintu di bahagian belakang rumah. Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong ketika mengesahkan kejadian itu berkata insiden tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa. "Kami masih lagi menyiasat punca kebakaran itu berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama.