PETALING JAYA: Siapa sangka dia dahulunya begitu digeruni apabila digelar ketua mafia kerana penglibatannya dalam pelbagai jenayah terutama senjata api dan dadah, namun kini kehidupannya berubah selepas kembali ke pangkal jalan. Vince Focarelli, 42, dari Australia mendapat hidayah apabila memeluk agama Islam dan kini menggunakan nama Abdul Salam. Kehadiran bekas mafia yang sebelum ini berdepan enam cubaan membunuhnya itu ke Malaysia dialu-alukan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di pejabatnya pada Khamis. Dua gambar pertemuan mereka dimuat naik di Facebook Zulkifi dan beliau mendengar kisah bekas mafia itu menerima hidayah untuk memeluk Islam. “Ahlan wa Sahlan kami ucapkan kepada Abdul Salam (Vince Focarelli), bekas mafia yang menziarahi kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. “Mendengar bagaimana beliau menerima hidayah untuk memeluk Islam, cukup menginsafkan kami mengenangkan kebesaran Allah SWT. Benarlah bahawa hidayah itu milik Allah SWT semata-mata,” menurutnya di Facebook. Abdul Salam atau Focarelli yang merupakan bekas ketua kongsi gelap pernah melakukan segala bentuk kekerasan, malah dilaporkan sanggup mencederakan seorang pelanggan yang ketagih dadah sehingga patah tulang pipi hanya hutang berjumlah AS$225 (RM962). Focarelli yang sebelum ini mengetuai ketua geng motosikal Comanchero, dibebaskan dari penjara dengan perintah parol pada April 2013 selepas menjalani hukuman kerana kesalahan senjata api dan dadah. Ramai musuh berdendam dengannya dan begitu banyak cubaan bunuh terhadap dirinya antara 2010 dan 2012, bagaimanapun dia terselamat dalam enam cubaan itu. Dia pernah ditembak tetapi hanya cedera, sehingga dikatakan sukar untuk dibunuh. Malangnya, salah satu insiden cubaan membunuhnya telah meragut nyawa anak lelakinya, Giovanni pada Januari 2012. Menginsafi diri dengan menjalani kehidupan baharu, Focarelli memberitahu bahawa semua orang melakukan kesilapan. Focarelli membuka sebuah restoran halal La’Fig Cucina di Carrington St, Adelaide di samping menyumbang makanan kepada gelandangan dan membantu mereka yang memerlukan. Memberitahu kepada Seven News sebelum ini, dia mengakui menjauhkan diri dari segala aspek kehidupan kongsi gelapnya. “Saya seorang manusia biasa dan tanpa mengira apa yang saya telah lakukan sebelum ini, semua orang melakukan kesilapan,” katanya yang berterima kasih kepada agamanya, keluarga dan pembukaan restorannya yang membantu mentransformasi dirinya menjadi umat Islam yang berguna.