suria

Kedai Jalanan Bukan Sekadar Projek Kebajikan

Dr Rusaslina (bertudung merah) bersama sukarelawan Kedai Jalanan pada projek agihan pakaian percuma kepada gelandangan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Noor Fazliyana Mohamad Fadzil mula menjadi sukarelawan bersama Kedai Jalanan sejak September 2015, iaitu operasi pengagihan pakaian dan kelengkapan dandanan diri percuma kepada gelandangan serta penduduk miskin bandar.

Penuntut Universiti Malaya (UM) berusia 23 tahun itu menyertai kegiatan seumpama itu selepas mendapat perkhabaran mengenainya daripada rakan-rakan yang terlibat.

Malahan dia mengakui mulai jatuh hati dengan aktiviti kebajikan seumpama itu, selepas beberapa kali menyertai projek yang dijalankan.

"Kami bukan sahaja memberi, malahan juga menerima. Pada masa sama ia juga mengajar kita mengenali dan memahami masalah yang dihadapi orang lain.

"Kini saya semakin yakin dengan diri sendiri dan lebih mudah berkomunikasi dengan sesiapa saja," katanya.

Rentetan itu, Noor Fazliyana sendiri telah menganjurkan program kebajikan seumpamanya dengan kerjasama Unit Kesukarelawanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM (Havoc).

Anak muda ini juga menyertai projek kesukarelawan global anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan terpilih mewakili negara untuk kerja kebajikan di Laos pada September ini.

Perkara sama yang diimpikan Dr Rusaslina "Lin" Idrus yang mahukan Kedai Jalanan yang menerima Anugerah Star Golden Heart dan Anugerah Star-Gamuda Inspiration tahun lalu.

Matlamat utama Kedai Jalanan adalah menyediakan perkhidmatan kepada golongan gelandangan dan mewujudkan kesedaran sivik di kalangan belia negara.

"Ia bukan semata-mata projek kebajikan.

"Kami menyediakan ruang untuk orang ramai rasa selamat dan dilayan dengan penuh maruah, dihormati dan adil," tegas Lin.

Salah seorang pelanggan tetap Kedai Jalanan adalah warga Indonesia berusia 30-an, Yuli Suparman.

"Sukar untuk mendapat kerja sekarang. Dengan baju yang saya dapat disini, saya mendapat kerja sambilan sebagai pencuci pinggan," katanya.

Bagi dua anugerah itu, dana RM53,000 diperoleh  dan ia digunakan untuk menambah keperluan bagi melicinkan operasi Kedai Jalanan.

Selain itu, dana itu juga digunakan untuk mewujudkan pangkalan data perkhidmatan untuk gelandangan di sekitar Lembah Klang.

Ia digunakan untuk membiayai pembantu penyelidik dan pemetaan untuk dalam talian.

Sementara itu, Fakulti Kesenian dan Sains Sosial UM akan memperkenalkan anugerah kecemerlangan untuk sukarelawan.

Penuntut terpilih yang akan diumumkan akhir bulan ini akan menerima wang tunai RM300.  

Kedai Jalanan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain