suria

MPOC Tunjang Promosi Industri Minyak Sawit

DARI biskut dan aiskrim sehinggalah ke mi segera, kira-kira separuh daripada semua bungkusan produk yang dijual di pasar raya mengandungi minyak sawit.

Malah, ia  merupakan minyak sayur-sayuran yang paling banyak digunakan di dunia kerana minyak sawit membentuk kira-kira 80 peratus daripada penggunaan lemak harian.

Minyak sawit adalah sumber semula jadi karotenoid dan vitamin E yang menyediakan badan dengan asid lemak dan mikronutrien sihat lain serta kalori yang diperlukan untuk aktiviti seharian.

Malaysia adalah salah satu pengeluar utama minyak sawit dunia.

Ketika ini, ia menyumbang 29.4 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia dan 36.7 peratus eksport dunia. (Sumber: Oil Word, Mac 2017).

Pada tahun lalu, industri minyak sawit menyumbang RM38.5 bilion kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar negara (KDNK).

Minyak sawit negara mencapai lebih 150 negara dan pada 2016, Kesatuan Eropah mengimport kira-kira 29.4 peratus minyak sawit dari Malaysia.

Jumlah kawasan tanah di Malaysia yang digunakan untuk menanam kelapa sawit adalah kira-kira 5.74 juta hektar dengan 3.06 juta hektar di Sabah dan Sarawak, manakala 2.68 hektar di Semanjung Malaysia.

Dari segi pengeluaran, negara menghasilkan 17.3 tan minyak sawit dan 1.96 juta tan minyak inti kelapa sawit tahun lalu. (Sumber: MPOB, 2017).

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), sehingga April 2017, bilangan individu yang diambil bekerja secara langsung dalam industri minyak sawit berjumlah 440, 262 (tidak termasuk 280,977 pekebun kecil persendirian).

Dari segi punca pendapatan, Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit menganggarkan industri itu menyokong kira-kira empat juta penduduk.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) adalah enjin penting yang mendorong industri minyak sawit di negara ini.

Sejarahnya bermula sejak 1990 dan majlis itu berperanan untuk menggalakkan perkembangan pasaran minyak sawit Malaysia dan produknya dengan meningkatkan imej minyak sawit Malaysia. 


Malah ia juga bertanggungjawab untuk mewujudkan penerimaan lebih baik terhadap produk itu melalui kesedaran mengenai pelbagai kelebihan teknologi dan ekonomi serta kelestarian alam sekitar.

Dalam satu temubual baru-baru ini, Pengerusi MPOC Datuk Lee Yeow Chor berkongsi pandangan beliau mengenai cabaran yang dihadapi industri minyak sawit dan perancangan pada masa hadapan.

Memandangkan tahun ini menandakan 100 tahun industri minyak sawit Malaysia, apakah tiga peristiwa penting yang telah kita capai?

Industri minyak sawit Malaysia adalah satu segmen penting untuk KNDK dan ia juga salah satu daripada penjana utama pertukaran wang asing untuk negara. Jadi itulah kejayaan yang pertama.

Kedua, ia telah menjadi alat yang berkesan untuk mengangkat ekonomi luar bandar dan pada masa sama membasmi kemiskinan.

Ketiga, industri minyak sawit meletakkan Malaysia di peta dunia dari segi status selaku pengeluar utama minyak sayur-sayuran.

Apakah pandangan anda berhubung kempen anti minyak sawit yang berterusan dari luar negara?

Pada pandangan MPOC, kita tidak kisah dengan perkara yang berasaskan fakta dan perbincangan yang seimbang. Namun, kita sering melihat cara badan bukan kerajaan (NGO) menggerakkan kempen melalui manipulasi data dan menyebarkannya dengan pendekatan melampau seperti menggunakan moratorium atau mengharamkan penggunaan minyak sawit sama sekali.

Itu, kita rasakan, bukan pendekatan yang betul dan kita mahu berhubung dengan mereka dan mencari jalan penyelesaian yang praktikal berasaskan fakta dan sains. Jika kita lihat sudut pandangan global, penduduk dunia semakin meningkat.

Hari ini, minyak sawit adalah minyak sayur-sayuran terbesar yang dihasilkan di dunia. Jadi minyak sawit akan ditengahkan dan tidak boleh dibawa keluar dari pasaran minyak sayur-sayuran sama sekali, (bertentangan dengan) apa yang disokong sesetengah NGO.

Ia adalah satu fakta bahawa ia perlu berada di sini untuk memenuhi keperluan pasaran minyak sayur-sayuran dunia. Jadi, apakah cara terbaik pada masa hadapan untuk memenuhi selera yang semakin meningkat bagi minyak sayur-sayuran?

Bagi MPOC, kami menyokong minyak sawit perlu menjadi salah satu penyelesaian utama kerana ia adalah tanaman paling efisyen di dunia ketika ini.

Lee Yeow Chor.

Apakah antara langkah-langkah semasa yang diambil oleh MPOC untuk menggalakkan perkembangan pasaran minyak sawit Malaysia dan produknya?

Untuk perkembangan pasaran, medium utama yang kita gunakan adalah melalui seminar tekno-ekonomi yang diadakan di pelbagai negara. Apabila kita hendak membuka pasaran baru, kita biasanya mengadakan seminar itu di sana dengan mendidik pengguna mengenai kelebihan teknologi minyak sawit.

Kita juga bercakap tentang manfaat ekonomi minyak sawit, terutamanya harga daya saing dan juga trend harga pasaran minyak sawit. Ini memberikan pemproses, pengguna dan peniaga di negara ini gambaran lebih baik tentang minyak sawit.

Dalam seminar ini, kita juga menggabungkan semua komponen penting merentas sempadan perdagangan minyak sawit. Kita bersama-sama pemain bermula dengan peniaga, pemproses, perkapalan dan juga bank. Ia membolehkan pasaran dibuka di negara tertentu terutama negara baharu.

Untuk pasaran sedia ada, kita juga harus mempertahankan pegangan saham dan kadang kala perlu menangani usaha untuk mengenakan sekatan bukan tarif terhadap minyak sawit.

Oleh itu, kita perlu menyokong dengan mendekati penggubal undang-undang dan pembuat keputusan kerajaan untuk memastikan mereka tidak mengenakan halangan bukan tarif ke atas pengimportan minyak sawit ke negara-negara mereka.

Di samping itu, kami juga mengadakan seminar dengan saintis yang akan bercakap tentang manfaat pemakanan minyak sawit bagi menangkis sebarang berita tidak benar mengenai nutrisi yang terkandung dalam produk tersebut.

Apakah peranan MPOC dalam menangani cabaran-cabaran ini?

Bagi masalah kekurangan pekerja, penyelesaian secara langsung adalah untuk mengurangkan penggunaan tenaga kerja. Kita perlu melihat lebih banyak cara untuk mengautomasikan beberapa proses tersebut.

Mengimbau sejarah 20 tahun lalu, kita telah berjaya mengurangkan penggunaan tenaga kerja sekitar 15 peratus di ladang. Tetapi pada masa depan, sudah tentu, masih ada ruang untuk pengurangan tenaga kerja.


Namun, skop itu mungkin berkurangan kerana beberapa proses sukar untuk digantikan dengan mesin. Sebagai contoh, proses penuaian masih perlu dilakukan pekerja mahir dan terpaksa bergantung kepada tenaga buruh.

Industri minyak sawit Malaysia berkembang dengan baik sehingga kita dianggap sebagai salah satu pengeluar utama minyak sayuran di dunia. Untuk melangkah ke hadapan, kita perlu mengekalkan kedudukan kita pada hari ini.

Kita juga perlu membangunkan lebih banyak kegunaan nilai tambah bagi minyak sawit supaya ia menjadi produk industri yang pelbagai, bukan hanya produk komoditi.

Dengan cara itu, kita benar-benar boleh meningkatkan jumlah pendapatan yang boleh kita peroleh daripada setiap tan minyak sawit yang dihasilkan di Malaysia.

MPOB, MPOC

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan