ANTARA syarikat-syarikat perladangan perintis di Malaysia, Sime Darby Bhd masih kekal di barisan hadapan dari segi perkembangan industri, terutamanya dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), kemampanan dan amalan-pengurusan agro. Ia adalah syarikat Malaysia pertama membuat kemasukan ke luar negara melalui pembukaan ladang di Indonesia, dan pelbagai inovasi dilakukan syarikat itu selama ini telah diterima sebagai piawaian industri. Hari ini, Sime Darby adalah syarikat perladangan terbesar di dunia yang tersenarai dalam Bursa Malaysia dan pengeluar terbesar bagi minyak sawit lestari yang diperakui. Ia menguruskan hampir satu juta hektar tanah, dan menanam kelapa sawit di kawasan berkeluasan lebih 640,000 hektar.Ia juga menguruskan kira-kira 100,000 hektar tanah lain untuk program pekebun kecil. Konglomerat pelbagai telah menyaksikan banyak perubahan sejak tahun 1917, apabila penanaman komersil pertama kelapa sawit dijalankan di estet Tennamaram, Selangor yang kini diuruskan anak syarikat perladangannya, Sime Darby Plantation Sdn Bhd. "Kami salah satu perintis dalam membangunkan pencapaian utama yang berjaya dicapai industri ini dari segi pengurusan pertanian dan amalan kemampanan yang kini telah menjadi piawaian industri. "Teknik pembakaran sifar, dan sistem pengurusan perosak bersepadu, sebagai contoh, semua kini adalah piawaian industri yang telah kita tetapkan," kata Pengarah Urusan Sime Darby Plantation, Datuk Franki Anthony Dass. Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Sime Darby Plantation telah menyumbang kepada banyak pembangunan tersebut dengan sebilangan besar ahli sains, teknokrat dan ahli agronomi. Sime Darby boleh mengesan akarnya bermula seawal abad ke-19, apabila perintis penanam Britain mewujudkan ladang getah di Tanah Melayu.Antara perintisnya adalah Alexander Guthrie, Daniel & Smith Harrison, Joseph Crosfield, Willliam Sime dan Henry d'Esterre & Herbert Mitford Darby - pengasas tiga syarikat besar yang membentuk Sime Darby Bhd pada hari ini. Franki menegaskan Sime Darby yang wujud hari ini adalah hasil daripada penggabungan dan pengambilalihan yang melibatkan banyak syarikat. "Ia bukan sahaja Golden Hope Plantations Bhd, Kumpulan Guthrie Bhd dan Kumpulan Sime Darby Bhd, tetapi juga melibatkan Pulau Carey, Seafield Amalgamated Estates, Austral Amalgamated Bhd, Highlands & Lowlands Bhd, Uniroyal Malaysian Plantation Sdn Bhd, dan yang terbaharu, New Britain Palm Oil Limited (NBPOL) yang diperoleh pada tahun 2015. "Kumpulan Sime Darby ketika ini, yang mempunyai nilai pasaran lebih RM61 bilion telah diwujudkan pada 2007 melalui penggabungan syarikat perladangan Permodalan Nasional Bhd - Golden Hope Plantations, Kumpulan Guthrie dan Kumpulan Sime Darby. Selepas penggabungan itu, syarikat tersebut telah disenaraikan di Bursa Malaysia pada 30 November 2007, sekali gus mewujudkan pengeluar minyak sawit yang tersenarai terbesar di dunia mengikut keluasan tanaman. "Jika kita mengambil kira semua kepakaran dan pengetahuan yang datang bersama-sama melalui penggabungan syarikat itu yang membentuk Sime Darby pada hari ini, ia jelas bagaimana sesebuah syarikat itu memainkan peranan penting dalam pembangunan industri," katanya. Ia juga merupakan syarikat pertama menerokai pasaran luar negara iaitu Indonesia sebagai Kumpulan Guthrie pada ketika itu yang turut menjadi ikutan beberapa syarikat perladangan lain selepas itu. Hari ini, Sime Darby Plantation mempunyai 102,000 kakitangan di 17 buah negara. Syarikat ini sebenarnya berusia 106 tahun. "Banyak syarikat lain melihat Sime Darby dari segi kepimpinan dan kami berharap dapat terus bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti MPOB dan syarikat-syarikat lain untuk menerajui industri ini ketika kita melangkah ke abad minyak sawit yang baharu di Malaysia," katanya. Walaupun banyak telah dicapai sejak 100 tahun lalu, Franki berkata ada lebih banyak lagi yang boleh dicapai oleh Malaysia dari segi kemajuan teknologi digital, automasi dan mekanisasi. "R & D sentiasa menjadi asas kepada kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri kelapa sawit," katanya. Awal bulan ini, Sime Darby menjadi syarikat pertama di Malaysia merangkul Anugerah Edison di atas inisiatif genom untuk membangunkan kelapa sawit dengan hasil lebih tinggi dan mengurangkan keperluan kepada lebih banyak kawasan. Anugerah Edison antara anugerah paling berprestij di dunia, mengiktiraf kecemerlangan dalam inovasi, produk baharu dan pembangunan perkhidmatan, selain pemasaran dan reka bentuk. Peranan penyelidikan dan pembangunan Franki menekankan bahawa R & D memainkan peranan penting dalam masa depan industri minyak sawit. Kejayaan Sime Darby bagi inisiatif genom bermaksud kelapa sawit baharu berupaya mengeluarkan kira-kira 11 tan hasil minyak sehektar menggunakan tanah yang sama. Ini adalah selaras dengan langkah ke arah penggunaan tanah yang lebih berkesan sekali gus mengurangkan keperluan untuk memperluaskan tanah pertanian kelapa sawit. "Genom ini mempunyai potensi untuk membawa angka sehingga 11 tan sehektar. Apabila kita mengkomersialkan produk ini selepas 2025, ia akan membantu pekebun kecil dan petani untuk meningkatkan hasil minyak mereka," katanya. Inovasi dan transformasi sebagai langkah ke hadapan Bergerak ke hadapan dalam tempoh 100 tahun akan datang, industri ini pastinya akan memerlukan lebih inovasi dan transformasi, kata Franki. Dunia berkembang pesat sejajar dengan globalisasi dan kemajuan dalam teknologi, tetapi industri perladangan, katanya, belum sampai ke tahap itu. "Apa yang kita perlukan adalah model perniagaan tepat yang menghubungkan teknologi baharu seiring dengan perkembangan trend dan cabaran pasaran," katanya. Dalam usaha untuk memenuhi permintaan masa depan dengan cara lebih mampan dan berdaya saing, Sime Darby Plantation sedang mengkaji penyelesaian inovatif berasaskan teknologi yang secara dramatik akan mengubah cara ia beroperasi. Beliau berkata, dengan hanya mengeluarkan minyak sawit sebagai komoditi tidak lagi mencukupi. "Kita perlu mencari cara terbaik untuk menghasilkan makanan berkhasiat untuk memenuhimakan walaupun industri haiwan. Penduduk dunia yang semakin meningkat dan," katanya. Hanya mengeluarkan minyak sawit sebagai komoditi tidak lagi mencukupi, katanya. "Kita perlu mencari cara yang lebih baik untuk menghasilkan makanan berkhasiat untuk menampung peningkatan populasi dan juga industri haiwan," katanya. Sime Darby telah pun memulakan misi untuk memperbaiki keadaan hidup dan kemudahan masyarakat dan pekerja yang tinggal di ladang milik syarikat itu. Ini bermula pada 2012, di estet bersejarahnya, Tennamaram apabila inisiatif Kompleks Perumahan Pusat (CHC) yang telah dilancarkan untuk menyediakan rumah dinaik taraf dan kemudahan lain di dalam sebuah bandar kecil bagi mewujudkan persekitaran lebih baik untuk pekerja ladangnya. "Di Sime Darby kita meningkatkan piawaian perumahan untuk pekerja di ladang kami, mewujudkan kemudahan terbaik dan membina sebuah pekan kecil bagi mereka yang tinggal di ladang-ladang," katanya.