suria

Doktor 'Cun', Mat Motor Kini Berkawan

PETALING JAYA: "Bagai mimpi", demikian kata seorang mat motor kerana tidak menyangka doktor wanita yang membantunya dalam kemalangan, Ahad lalu, tiba-tiba muncul di depan matanya.

Faizal Hasbullah Alimin, 20, berkata, dia terkejut apabila seorang pelawat cantik tiba-tiba menghampiri katilnya di hospital, petang Jumaat.

“Masa tu saya tengah 'main' handphone, dari jauh saya tak perasan, bila semakin dekat barulah saya ingat dialah orang yang tolong saya masa kemalangan hari tu,” kata Faizal kepada mStar Online.

Kisah Faizal dibantu seorang doktor wanita menjadi tular apabila rakan mangsa, Muhammad Aizuddin Mohd Sharif, 21, yang berada di tempat kejadian memuat naik gambar dan posting penghargaan untuk doktor berkenaan, Selasa.

Selain dipuji atas keprihatinannya, doktor berkenaan turut mendapat perhatian netizen kerana beliau, yang berbangsa Cina dan masih muda bersikap profesional dan menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa atau agama.

Faizal yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Genting Sempah berkata, dia sedikit kekok apabila doktor berkenaan sudi menjenguknya walaupun beliau berhasrat menemuinya untuk mengucapkan terima kasih apabila sembuh nanti.

“Tak sangka dia datang, ada segan sikitlah, tak macam dia, nampak selamba je.

“Dia datang borak, periksa tangan saya, check x-ray, dia kata dia sendiri pun terkejut sebab kisah ni jadi viral,” katanya.

Menurut Faizal, doktor berkenaan datang tanpa ditemani sesiapa dan meluangkan masa kira-kira satu jam berbual dengannya.

Difahamkan, beliau kini sedang bertugas di sebuah hospital kerajaan.

“Dia cerita masa kemalangan tu dia berhenti tepi, tapi dia pun tak tahu nak buat apa sebab barang tak lengkap, dia cuma boleh tolong periksa paru-paru dan jantung saya saja,” katanya.

Faizal berkata, sepanjang tempoh itu, dia berkali-kali mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada doktor berkenaan yang tidak prejudis terhadap dirinya yang digelar mat rempit dan telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang doktor dengan baik.

“Bila saya ucap terima kasih, dia kata ‘sama-sama’, dia kata memang itu kerja dia, tugas dia.

“Dia harap saya cepat sembuh dan minta saya jaga pemakanan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Aizuddin memberitahu, doktor berkenaan mengakui beliau kini menganggap Faizal sebagai kawannya.

Dalam kejadian 11.35 pagi itu, Faizal yang menunggang motosikal Kawasaki RR150 dari Hulu Langat ke Bentong patah tangan kanan, manakala hampir seluruh belakang badannya cedera.

Selepas dihantar ke hospital, Mohd Aizuddin telah memuat naik posting di Facebook: “Respect' kat amoi ni. Walaupun dia tau kami mat rempit, dia berhenti tolong sebab dia doktor. Aku suruh dia gerak dia cakap 'tak apa, saya tunggu ambulans sampai’.

"Kau carilah dia bila kau dah sihat. Dialah yang suruh aku beli air gula, dialah yang siram luka kau. 'Gentle' gua respect.” 


Faizal Hasbullah, Genting Sempah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain