PETALING JAYA: Penumpang wanita yang dirompak oleh pemandu Uber ketika dalam perjalanan pulang ke Puchong minggu lalu mengalami keguguran. Pembantu jualan Wong Mei Yan, 26 yang hamil sebulan mengalami keguguran kira-kira seminggu selepas kejadian itu. Katanya, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat perkhidmatan e-hailing itu kerana mengalami gangguan emosi dan kerugian. Mei Yan menempah perkhidmatan untuk pulang ke kediamannya menerusi aplikasi e-hailing pada kira-kira pukul 9.30 malam. Beliau mendakwa tidak nampak ada penumpang di tempat duduk hadapan dan hanya menyedari kehadiran lelaki 'bertubuh kecil dan kurus' semasa pemandu kenderaan itu bercakap dengan pemuda itu. Kata Mei Yan, dia tidak bercakap dengan pemandu sehingga dia dibawa ke laluan salah walaupun telah memaklumkan jalan yang sepatutnya digunakan. Apabila tiba di pusat perniagaan One Puchong, penumpang di hadapan itu telah mengacu pisau ke arah Mei Yan dan memaksanya menyerahkan barang berharga. Mei Yan bagaimanapun merayu supaya tidak dicederakan kerana dia sedang mengandung. Mereka kemudiannya meninggalkannya di Koi Kinrara dan dibantu pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu untuk membuat laporan polis. Polis menahan pemandu terlibat di Kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, Muar pada 24 Mei lalu.