ALOR SETAR: Rakyat Kedah berpeluang mendapatkan bekalan daging lembu segar yang jauh lebih rendah di negeri ini menerusi Festival Daging Raya Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) 2017 sempena Aidilfitri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat, Datuk Suraya Yaacob berkata, menerusi program tersebut, orang ramai boleh membeli daging dengan harga RM24 sekilogram berbanding RM30 hingga RM32 sekilogram pada 23 Jun depan. "Sebelum ini hanya melibatkan 75 ekor lembu, tahun lalu meningkat 200 ekor dan tahun ini pun kami sembelih 200 ekor di semua pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, kami tak boleh lebih, nanti mengganggu perniagaan orang lain," katanya kepada Bernama pada majlis Makan Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang, di Restoran Teratak Bendang, di sini, baru-baru ini. Kira-kira 300 tetamu termasuk setiausaha JKKK, Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO bahagian hadir dan menerima sumbangan berupa kain pelikat dan kurma. Katanya, Festival Daging Raya itu telah memasuki tahun ketiga sejak 2015 yang dirangka kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat menjelang sambutan Hari Raya. "Kalau ada orang kata macam mana kerajaan nak membantu untuk mengurangkan beban rakyat, inilah antara kerja-kerja yang kami lakukan untuk mengurangkan beban, cuma sekarang ni ramai yang tidak sedar dan menganggap ia perkara biasa dan ada yang tidak menghargai," katanya. Suraya menambah, program itu mendapat kerjasama syarikat milik kerajaan (GLC) dan Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd (KLPK) yang mendapat sambutan. Lebih 60,000 kilogram daging akan dijual yang dapat memanfaatkan lebih 30,000 orang penduduk beragama Islam untuk menyambut Aidilfitri. Sementara itu, Suraya berkata, pelbagai program diatur sepanjang Ramadan ini melibatkan program di masjid, surau dan majlis berbuka puasa UMNO di peringkat bahagian dan cawangan. "Kami teruskan program Barakah Ramadan seperti tahun sebelum ini, cuma saya minta pemimpin setempat termasuk pengerusi JKKK dan ahli jawatankuasa UMNO bahagian melakukan lebih banyak penglibatan dengan rakyat dan perlu bertindak tanpa digesa dalam hal-hal membantu rakyat," katanya. Katanya, golongan ini amat penting kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat dan mengangkat masalah rakyat ke peringkat atas supaya dapat dibantu dengan bantuan yang bersesuaian dengan mereka.