ALOR SETAR: Harga sayur-sayuran di Pasar Besar Alor Setar naik antara RM2 hingga RM5 sekilogram, tiga hari selepas berlaku kenaikan harga ikan, ayam dan daging pada hari pertama Ramadan, Sabtu lepas. Hasil tinjauan Bernama mendapati, daun bawang dan daun sup antara yang tertinggi berlaku kenaikan sehingga mencecah RM15 sekilogram berbanding hanya RM10 sekilogram yang dicatatkan pada Ahad. Turut berlaku kenaikan ialah daun salad RM12 berbanding RM10, kacang buncis RM9 daripada RM7, cabai melaka RM8 daripada RM6.50, timun RM4 berbanding RM2.50, dan sawi RM6 berbanding RM4 sebelum ini. Menurut peniaga, Hafizah Zakaria, 23, walaupun berlaku peningkatan, sayur seperti kobis bulat turun 50 sen daripada RM3.50 dan cili hidup masih berlegar pada harga RM12 sekilogram. "Kita peniaga runcit terpaksa naikkan harga untuk dapat keuntungan, ini dah jadi biasa bila tiba musim perayaan, pemborong naikkan harga sayur dengan alasan bekalan kurang akibat cuaca, tetapi bila habis musim perayaan harga kembali murah dan stabil," katanya. Seorang lagi peniaga, Shukri Hashim, 58, berkata, stok yang tidak mencukupi menyebabkan harga di peringkat pemborong melambung naik dan peruncit serta pengguna yang menanggung beban. "Harga sayur lain masih rendah, tetapi daun bawang dan daun sup naik sehingga RM15, ini berlaku apabila tauke-tauke di Cameron Highlands banyak buat agihan di sebelah selatan tanah air menyebabkan kita terima stok yang sedikit dan mahal," katanya. Sementara itu, seorang pengguna, Azizah Rahim, 48, berkata, peningkatan harga sayur akan terus menekan pengguna kerana sebelum ini mereka telah terbeban dengan kenaikan harga bahan mentah lain seperti ikan, daging dan ayam. "Kalau semua naik susah lah kita sebagai pengguna, saya harap kerajaan dapat lakukan sesuatu bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barang terutama menjelang musim perayaan nanti," katanya. Dalam pada itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah, Mohd Fitri Hassan berkata, pihaknya akan menemui pemborong di negeri ini untuk mencari jalan penyelesaian terbaik agar tidak terus menekan pengguna. "Esok kita akan pantau dan berjumpa dengan pihak pemborong termasuklah mendapatkan kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan agar dapat membantu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengurangkan beban orang ramai," katanya. Tinjauan juga mendapati harga ayam masih kekal seperti beberapa hari lepas iaitu RM8.50 sekilogram manakala daging tempatan RM32 dan daging lembu import RM22 sekilogram.