BALIK PULAU: Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan untuk memendekkan tempoh menunggu menunaikan haji bagi setiap pendaftaran kepada 50 tahun pada masa akan datang berbanding 89 tahun buat masa ini. Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata sasaran itu mampu dicapai menerusi hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi berikutan penambahan kuota jemaah haji seperti yang diumumkan baru-baru ini. Beliau berkata kemungkinan Malaysia akan menerima penambahan kuota sehingga 40,000 jemaah tahun depan berbanding 35,000 pada tahun ini, sekali gus menyaksikan tempoh menunggu disingkatkan daripada 120 tahun sebelum ini kepada 89 tahun. "Tempoh menunggu bawah 50 tahun untuk 2.5 juta pendeposit TH yang mendaftar untuk menunaikan haji ditetapkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Tabung Haji," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan menerusi Program Ziarah Kasih Ramadan 2017 berjumlah RM300,000 kepada 1,500 penerima di sini, Rabu. Penambahan kuota sebanyak 30,200 berbanding 27,900 sebelum ini merupakan hasil perbincangan antara Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan negara Raja Arab Saudi itu ke Malaysia baru-baru ini. Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata bagi memberi kemudahan kepada jemaah Malaysia, kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan tanah di Mekah dan Madinah untuk membina Kompleks Tabung Haji bagi menempatkan jemaah sepanjang tempoh menunaikan ibadah haji. Beliau berkata kerajaan Arab Saudi ada menawarkan beberapa bidang tanah dan pihaknya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan ke negara itu pada Ramadan ini sebelum memutuskannya pada musim haji ini. "Jika jemaah negara lain nak tengok Kaabah pun kena berjalan jauh. Alhamdulillah jemaah kita hanya 600 meter ke 700 meter sahaja. Itu pun kita nak cari lebih dekat lagi untuk memudahkan jemaah kita. Ini semua berlaku kerana keakraban Malaysia dan Arab Saudi," katanya. Sementara itu, Abdul Aziz menegaskan sumbangan menerusi Program Ziarah Kasih Ramadan tidak menggunakan wang pendeposit TH sebaliknya ia adalah wang Yayasan Tabung Haji dan hasil sumbangan badan-badan korporat termasuk kerajaan pusat. Beliau berkata Yayasan Tabung Haji mempunyai peruntukan sedia ada sebanyak RM7 juta dan hasil sumbangan badan-badan korporat menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 juta. - Bernama