SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memastikan bekalan minyak masak dan harganya stabil menjelang perayaan Aidilfitri. Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata operasi dan pemeriksaan akan dijalankan di seluruh negara bagi memastikan tiada pihak menyeleweng bekalan minyak masak termasuk yang bersubsidi. Katanya negara merupakan pengeluar minyak sawit utama dunia dan tidak sepatutnya menghadapi masalah kekurangan bekalan minyak masak. "Semua pihak bertanggungjawab diminta bersama-sama KPDNKK memastikan bekalan minyak masak mencukupi dan dijual dengan harga munasabah. "Bekalan minyak masak bersubsidi akan berhadapan masalah kekurangan bekalan disebabkan oleh pihak yang tidak jujur melakukan penyelewengan termasuk mengeksport ke luar negara," katanya pada sidang media di sini pada Khamis. Dalam pada itu, Mohd Roslan berkata bekalan minyak masak di Sabah masih belum pulih sepenuhnya. Katanya pihaknya masih menerima aduan berlaku masalah kekurangan bekalan minyak masak di beberapa daerah antaranya di Kota Kinabalu, Tawau dan Lahad Datu. Menurutnya, aduan lain diterima adalah minyak masak bersubsidi 1 kilogram yang sepatutnya dijual pada harga RM2.50 tetapi dijual RM2.90 ke atas. "Pihak kami memandang serius perkara ini dengan mengambil tindakan tegas menanganinya termasuk menerusi pemeriksaan di kilang membungkus minyak masak bersubsidi," katanya. Beliau berkata bekalan minyak masak di negeri lain sudah pulih. - Bernama