suria

Hukumnya Harus Sedekah Makanan Bufet Ramadan Elak Bazir - Mufti

Makanan bufet Ramadan boleh dijadikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik bagi mengelakkan pembaziran. Foto Bernama - Gambar hiasan

PETALING JAYA: Tingginya bangunan KLCC, dan bayangkan ketinggian 30 kali bangunan setinggi 452 meter ini menyamai longgokan makanan yang tidak diusik dan masih boleh dimakan sepanjang Ramadan yang mulia ini.

Syarikat menyelia sisa pepejal, SWCorp sebelum ini dilaporkan berkata, rakyat negara ini membuang 270,000 tan makanan berkenaan setiap tahun bagi tempoh sebulan berpuasa.

Secara purata, setiap hari pada Ramadan sebanyak 9,000 tan makanan dibuang dan ia menjadi kebimbangan terhadap budaya pembaziran masyarakat negara ini. 

Banyaknya makanan dibazirkan tetapi itulah hakikat yang berlaku dalam bulan yang mulia ini.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, adalah diharuskan makanan yang berlebihan itu disedekahkan bagi mengelakkan pembaziran khususnya di premis yang menawarkan bufet ramadan seperti hotel.

“Kalau makanan itu masih baik dan boleh dimakan oleh sesiapa sahaja, maka ia boleh disedekahkan. Ia diharuskan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Ramadan kali ini, anakanda kedua Sultan Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin mencetuskan idea ‘zero food wastage’ dengan kerjasama Sunway Berhad melalui Sunway Resort Hotel & Spa dengan kerjasama badan kebajikan, Kechara Soup Kitchen bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Menurut Tengku Zatashah, kempen yang memasuki tahun kedua itu bertujuan untuk mengatasi pembuangan lebihan makanan bufet Ramadan dengan membantu golongan yang memerlukan terutama miskin bandar dan gelandangan.

Bagaimanapun kata Mohd Tamyes, istilah ‘lebihan makanan’ itu perlu diperjelaskan supaya ia tidak dianggap sebagai baki makanan yang sudah dijamah.

“Gunakanlah istilah yang sesuai supaya ia difahami dengan jelas sebagai makanan yang masih elok, malah belum dijamah lagi. Perlu ada persepsi yang lebih baik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan sumbangan tersebut sebagai usaha yang baik untuk mengelakkan pembaziran, dan ia dapat disampaikan kepada golongan sasar terutama mereka yang kurang bernasib baik.

“Apa yang penting makanan itu tidak disentuh dan dibenarkan pemiliknya seperti restoran atau hotel untuk menyalurkan sumbangan tersebut.

“Ia diharuskan malah digalakkan diikuti semua untuk melakukan inisiatif ini kerana ia dapat disumbangkan secara baik,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Kashim pula berkata, jika penganjur program seumpama itu mahu menjadi contoh dan teladan kepada yang lain, maka penjelasan perlu dibuat secara terbuka dan terperinci mengenai tujuan sebenarnya.

“Daripada ia terbuang sahaja di dalam tong sampah, maka kita perlu mengambil inisiatif dengan memberinya kepada gelandangan dan orang miskin agar mereka juga dapat merasai nikmat sebagaimana dirasai insan senang yang lain,” katanya.

Mengenai makanan bufet Ramadan itu akan disumbangkan kepada golongan yang memerlukan pelbagai kaum dan agama, Izhar berkata, tiada masalah sekiranya ia turut disedekahkan kepada orang bukan Islam, kecuali seperti zakat yang khususnya untuk orang Islam.

Malah Mohd Tamyes turut mengatakan sedekah dan membantu tanpa mengira siapa kerana ia merupakan amalan yang murni dan besar ganjarannya sambil berkata: “Seperti kisah zaman Rasulullah, seorang wanita (pelacur) membantu seekor anjing yang kehausan, dan dia mendapatkan air di dalam telaga menggunakan kasutnya lalu diberikan anjing tersebut, dan akhirnya wanita itu dihapuskan dosanya.”

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pilih Makanan Sihat - KKM

Artikel Lain