suria

Pesawat Ringan Terhempas

JOHOR BAHRU: Sebuah pesawat ringan terhempas di atas jejambat yang belum beroperasi di Lebuhraya Nusajaya Pulai, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata kejadian berlaku pada 10.15 pagi Ahad membabitkan pesawat Piper PA28.

"Pesawat kendalian Kelab Penerbangan Elite itu dilaporkan dalam penerbangan latihan. Terdapat tiga orang dalam pesawat tersebut dan semua mereka selamat tanpa kecederaan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Ahad.

Azharuddin berkata pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kemalangan itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai Penolong Kanan Penguasa Bomba Khairi Zainuddin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian menghala ke Bandar Baru Pulai Jaya itu pada 10.29 pagi tadi dan sebuah jentera digerakkan membabitkan seorang pegawai dan enam anggota bagi memantau kejadian.

Khairi berkata sejurus tiba di lokasi itu, pihaknya mendapati terdapat sebuah pesawat ringan di atas jejambat, namun, kesemua mangsa tiada di lokasi itu yang difahamkan sudah diselamatkan orang awam.

Beliau berkata bomba kemudian melakukan pemantauan di lokasi kejadian memandangkan terdapat risiko kebakaran berikutan kebocoran minyak pesawat.

"Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku dan operasi bomba ditamatkan pada 12.34 tengahari tadi," katanya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Noor Hashim Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit, namun, enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata lokasi kejadian merupakan laluan baru yang masih belum dibuka kepada lalu lintas.-Bernama

Pesawat Ringan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain