PETALING JAYA: Setelah dua tahun beraya di perantauan, tahun ini Geng Cuci Masjid memilih untuk menjalani ibadah puasa dan menyambut Syawal bersama keluarga tercinta. Annas Aiman Jaffry, 30, memilih untuk menumpukan perhatian terhadap penerbitan buku keduanya setelah buku pertama Geng Cuci Masjid berjaya terjual lebih 5,000 naskhah. Katanya, ketika memulakan pengembaraan Geng Cuci Masjid pada 2015, dia dan adiknya, Muhammad Aidil, 26, serta seorang rakan mereka, Muhammad Hizammudin Alidin, 28, menyambut Syawal di Sungai Petani, Kedah dan pada 2016 pula di Sabah, Sarawak serta Brunei. "Bila dah dua tahun tak beraya dengan keluarga sendiri, rasa rindu pula nak merasai kemeriahan pagi Syawal bersama mereka. "Jadi tahun ini, kami beraya dengan keluarga dan pada masa sama berkesempatan untuk menyiapkan buku kedua ketika masa terluang," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat. Mengulas mengenai buku keduanya, Annas Aiman berkata, buku tersebut ditulis berdasarkan pengalaman Geng Cuci Masjid mengembara ke kepulauan Borneo pada tahun lalu. Katanya, kandungan buku berkenaan lebih menitikberatkan pengisian mengenai kelainan dan keistimewaan setiap tempat yang dikunjungi mereka. Bagi Annas Aiman, pengertian musafir adalah proses pencarian ilmu tentang pelbagai perkara yang mungkin hanya pernah didengar sebelum ini, namun dapat diselami melalui pengembaraan Geng Cuci Masjid. Dia yang pernah bekerja sebagai penjaga stor sebelum melaksanakan misi pengembaraan tersebut mengakui bahawa rezekinya semakin murah dan mula berjinak-jinak dengan perniagaan bagi menampung kos pengembaraan mereka yang akan datang. Menurut Annas Aiman (gambar), misi amal Geng Cuci Masjid akan diteruskan ke Singapura pada Mei tahun depan.