PETALING JAYA: Ketika timbul viral mengenai kurma yang dijual untuk dinikmati sepanjang bulan Ramadan ini mengandungi lipas kecil dan berulat, seorang peniaga kurma tampil memberi penjelasan tentang makanan sunnah itu. Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Sofwan Sharifuddin menjelaskan apabila tiba bulan puasa, kurma bertangkai amat popular di Malaysia dan ramai tidak menyedari bahawa ia sebenarnya mudah rosak. "Kurma ada banyak jenis, ada kurma kering ada kurma fresh dan ada kurma jenis basah. Seperti yang ramai viral kurma kotak itu termasuk dalam kurma jenis basah yang mudah rosak. "Saya tak tahu orang Malaysia yang suka makan kurma tangkai ini tahu atau tidak kurma ini mudah rosak," katanya. Justeru, Sofwan mengingatkan penjual kurma mahupun pembeli yang meminati kurma jenis bertangkai mengenai risiko kurma tersebut yang mudah rosak jika tidak disimpan di dalam peti sejuk. "Di kedai saya kalau orang yang biasa datang beli kurma saya akan pesan supaya simpan kurma ini di dalam peti sejuk. "Jadi untuk pengetahuan anda semua yang mana suka beli kurma mohon cari kurma yang sentiasa berada di dalam bilik sejuk," katanya. Pada masa sama, Sofwan turut menasihati pembeli agar menyimpan kurma yang sudah dibeli di dalam peti sejuk. "Jangan letak atas meja, ulat dan lipas mudah datang sebab kurma itu sedap. Serangga tidak akan hidup di tempat yang sejuk," katanya. Malah, beliau turut menggesa pembeli supaya memeriksa terlebih dahulu kurma tersebut bagi memastikan ia dalam keadaan baik sebelum melakukan pembelian. Sofwan turut berkongsi gambar kurma yang dijualnya di laman Facebook tersebut yang kelihatan elok. "Ini antara kurma yang saya jual. Alhamdulillah setakat ini buah semua dalam keadaan baik, buah-buah semua kami akan simpan di dalam bilik sejuk," katanya. Posting tersebut mendapat kira-kira 377 perkongsian di laman Facebook dan 330 likes. Beberapa pengguna Facebook turut berkongsi keadaan kurma yang dibeli setelah disimpan di dalam peti sejuk. Masyam Nursyafika berkata; "Memang simpan peti sejuk... since 2012 umrah. Kurma masih elok." Sementara itu, Nordiana Ahmad berkata: "Saya memang simpan kurma dalam peti ais... ok je."