suria

"Kami Biasa Buka Puasa Lewat"

PETALING JAYA: Seorang ibu bersama lima anaknya kelihatan gembira ketika berkesempatan berbuka puasa meskipun lewat lebih sejam, iaitu selepas azan Isyak berkumandang.

Menerusi video berdurasi lapan minit dan 53 saat yang dimuat naik Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng di Facebooknya pada Selasa, ia dirakamkan pada kira-kira pukul 9 malam.

Kedengaran Chee Heng berkata: “Pukul 9 baru nak berbuka. Tak apalah, kita berbuka puasa sama-sama.” 

Wanita di dalam video itu ketika dihubungi mStar Online memberitahu, dia mendapat bantuan Chee Heng untuk berbuka puasa bersama lima daripada lapan anaknya.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Mareeya berkata, hidupnya susah sejak beberapa bulan kebelakangan ini kerana beliau mendakwa tidak mendapat nafkah daripada suami selepas pasangan itu mengalami masalah rumahtangga.

Mencari rezeki dengan hanya bekerja sebagai tukang masak di sebuah tadika dengan upah sebanyak RM40 sehari, katanya, ia tidak mampu untuk menampung perbelanjaan dirinya sekeluarga.

“Tak cukup dengan upah RM40 sehari, nak kena tanggung macam-macam terutama makan minum dan keperluan lain, tak termasuk nak bayar sewa rumah dan tiga anak yang belajar di sekolah tahfiz.

“Baki duit yang ada juga buat belanja untuk buka puasa, atau kadang-kadang anak-anak dapat sumbangan derma daripada pihak surau. Kadang-kadang kami minum air dan makan kuih-muih dari surau, ala kadar sahaja tetapi syukur Alhamdulillah," katanya sambil menambah sewa rumah tertunggak berbulan-bulan tetapi tuan rumah memberi peluang untuk digantikan dengan bayaran deposit sebelum ini.

Berkongsi keperitannya, Mareeya yang menetap di Seri Kembangan berkata, dia meminjam wang daripada rakan-rakan dan kadang-kadang terpaksa meminta upah lebih awal daripada tadika.

Tambahnya, dia dahulu pernah berniaga nasi lemak dengan bantuan modal daripada Chee Heng tetapi mendakwa pernah dianiaya individu tertentu sehingga terpaksa menghentikan perniagaan berkenaan.

“Semalam saya berurusan dengan Encik Kuan untuk mendapatkan bantuan berniaga, dan disebabkan masalah kewangan, kekangan masa dan kesesakan lalu lintas, saya dan anak-anak tidak sempat berbuka puasa tepat pada waktunya.

“Alhamdulillah, beliau jemput kami berbuka puasa walaupun lewat. Tapi dah biasa bagi kami kerana kadang-kadang terpaksa buka puasa lambat sebab nak cari makanan,” katanya.

Tambah Mareeya, bantuan untuk dia kembali berniaga itu sedikit-sebanyak akan meringankan bebannya menanggung anak-anak, selain dapat menyediakan persiapan untuk Aidilfitri.

Sementara itu, Chee Heng berkata, Mareeya sekeluarga adalah antara yang dibantunya kerana kurang bernasib baik sehingga mengalami masalah untuk berbuka puasa kerana kesempitan wang.

“Bersama rakan-rakan, Mareeya akan diberi bantuan untuk berniaga menjual air tebu bagi menyara kehidupannya bersama anak-anak.

“Orang ramai juga dialu-alukan untuk memberi sumbangan dan derma bagi membantu saya dalam menyalurkannya kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Chee Heng sebelum ini mendapat perhatian ramai kerana sering melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan termasuk mewujudkan 'Pasar 10 Sen' untuk golongan kurang berkemampuan memiliki barangan keperluan terpakai pada harga 10 sen.

Kuan Chee Heng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Melepas Kasut Raya...

Artikel Lain