suria

Macam Tak Ada Apa-Apa Di Doha

RAMADAN yang kelima aku mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air. Aku memohon cuti selama lima hari. Dari 1 hingga ke 5 Jun bagi menyambut Ramadan bersama keluarga. Selain itu, menguruskan sedikit persiapan raya.

Dapat juga aku pergi ke bazar Ramadan dan membeli juadah yang menjadi kerinduan ketika di Doha. Tepung pelita utamanya. Mana lagi nak cari? Jika sudah berjumpa pasti beli.

Lima hari bercuti semua urusan dapat diselesaikan dengan baik. Penerbangan balik juga aku lihat tidak sesak seperti selalu. Hari ke-10 Ramadan bersiaplah aku untuk pulang ke Doha.

Tanpa diduga, lima jam sebelum penerbangan, aku menerima berita yang memeranjatkan. Anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan UAE memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar.

Wah! Ini satu perkara yang aneh. Laman demi laman aku lawati bagi mencuba untuk memahami keadaan. Kawan-kawan yang telah sedia berada di Doha juga berkongsi maklumat tentang apa yang berlaku.

Setakat ini apa yang berlaku masih di tahap spekulasi. Ada juga mendapat berita bahasa semua media sosial akan dipantau bagi mengelak sebarang sebaran berita palsu.

Aku menyemak berita sekiranya terdapat berita akan ada sekatan dari negara luar untuk memasuki Doha. Alhamdulillah tidak ada. Namun, tiga jam sebelum penerbangan, terdapat berita syarikat penerbangan Abu Dhabi, Etihad Airways memberhentikan operasinya di Doha.

Berita ini tidak dinafikan mendatangkan sedikit kebimbangan kepada aku dan kawan-kawan yang berada di sana. Nak tak nak, aku perlu juga pulang ke Doha. Alhamdulillah segala urusan di kaunter tiket berjalan seperti biasa.

Waktu perlepasan aku ialah 20:50. Di dalam kapal terbang aku berbalas mesej dengan isteri yang meluahkan perasaan risau di atas pemergian aku kali ini. Tidak mudah juga mahu mententeramkan keadaan di saat aku sendiri pun tidak tahu situasi sebenar di Doha dan seperti dia, aku pun risau juga.

Penerbangan malam itu agak lancar. Tidak ada sebarang pengumuman yang ganjil atau berkait dengan situasi di Qatar. Selepas dua jam berada di udara, aku mengambil keputusan untuk melelapkan mata.

Tapi itulah, sukar juga mahu melelapkan mata apabila fikiran mula menerawang memikirkan yang bukan-bukan. Beberapa kali aku menarik nafas dalam-dalam dan cuba menolak sebarang kemungkinan buruk yang boleh terjadi.

Setiba di Doha, perkara pertama yang menjadi kejutan, penerbangan kali ini tidak seperti selalu. Aku tiba satu jam lebih awal dari kebiasaan. Dua tiga kali aku melihat jam yang menunjukkan waktu 22:35.

Biasanya paling awal aku tiba pun pada pukul 23:35. Aku kira dengan penutupan ruang angkasa oleh Saudi dan Bahrain, penerbangan terpaksa dilencongkan sedikit. Itu fikiran aku. Jika tidak masakan boleh ada perbezaan yang sebegini.

Aku tidak bersendirian rupanya. Nizam turut berada dalam penerbangan bersama. Kami berbual sambil berjalan menuju ke kaunter imigresen.

Dan aneh! Di kawasan transit, tidak ramai orang seperti selalu. Ini merupakan kejutan kedua pada malam itu. Setibanya aku di kawasan e-gate, laluan pantas untuk mereka yang mempunyai kad Qatar, keadaan lengang tidak seperti selalu.

Dan di situ baru aku perasaan memang tidak ramai orang di dalam HIA pada malam itu. Apakah ia bersangkutan dengan isu di siang hari tadi? Mungkin.

Di pejabat, 6 Jun 2017, isu putusnya hubungan diplomatik itu tidaklah dibincangkan secara umum. Aku mengambil inisiatif bertanya itu ini kepada sesiapa yang sempat aku temui.

Rata-rata mengambil sikap dan berfikiran positif. Sementelah ini bukan kali pertama ia berlaku. Sebelum ini pernah juga berlaku sekitar Mac 2014.

Ramai lebih bercerita tentang suasana di pasar raya yang dipenuhi manusia-manusia yang ingin membeli makanan untuk dibuat stok sekiranya keadaan berlarutan dan bertambah teruk.

Ada juga yang bercerita tidak dapat lagi tukar ke matawang dolar AS sejak semalam. Dan ramai yang tidak dapat menduga apakah yang bakal berlaku seterusnya.

Selesai waktu kerja, aku mengambil keputusan pergi ke pasar raya terdekat dengan rumah. Alhamdulillah suasananya tidak berbeza dengan sebelum ketegangan ini berlaku.

Bekalan makanan juga masih banyak di rak-rak. Aku meninjau ayam, minyak, beras, telur, daging, sayur-sayuran dan roti. Alhamdulillah semua masih terjual seperti sediakala.

Aku harap kemelut ini dapat diselesaikan secara baik, tidak berlarutan atau semakin keruh. Apakah yang bakal berlaku? Tidak dapat kita semua menduganya. Sama-sama kita tawakal dan doakan keselamatan kami warga Malaysia di Doha.


Doha, HIA, UAE

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain